WASHINGTON: Pelakon veteran Hollywood, Martin Kove, 78, yang terkenal menerusi siri popular Cobra Kai, diarah meninggalkan sebuah acara di Puyallup, Washington, selepas didakwa menggigit lengan rakan pelakonnya, Alicia Hannah Kim.
Menurut laporan polis yang diperoleh media antarabangsa, insiden berkenaan berlaku pada 22 Jun lalu apabila Hannah-Kim mendekati gerai tempat Kove berada dan menyapanya dengan menepuk bahunya.
Bagaimanapun, pelakon itu dikatakan bertindak luar jangka apabila secara tiba-tiba menggenggam lengan Hannah Kim dan menggigit bahagian atas lengannya dengan kuat sehingga hampir menyebabkan pendarahan.
Mangsa turut memaklumkan kepada polis bahawa selepas menggigit, Kove turut mencium kawasan yang digigit tersebut.
Pegawai bertugas mengesahkan terdapat kesan gigitan yang ketara pada lengan Hannah Kim yang ketika itu sudah mula lebam.
Ekoran kejadian itu, Hannah Kim mendapatkan bantuan daripada pengurus serta suaminya, pelakon Sebastian Roché, yang kemudiannya bersemuka dengan Kove.
Menurut laporan, Kove bertindak agresif dan mempertikaikan tindakan pasangan itu menegurnya, sambil menegaskan bahawa dia tidak melakukan sebarang kesalahan.
Polis yang dipanggil untuk memantau keadaan memaklumkan bahawa Kove mengakui menggigit lengan Hannah-Kim dan mendakwa ia hanyalah gurauan sebagaimana mereka sentiasa bergurau sewaktu di set penggambaran Cobra Kai.
Namun, Hannah Kim menegaskan tindakannya itu menyakitkan dan tidak wajar, serta menganggap ia sebagai perbuatan yang menyalahi undang-undang.
Pegawai polis terbabit memaklumkan kepada Kove bahawa insiden tersebut sedang disiasat sebagai satu bentuk serangan fizikal dan beliau berdepan kemungkinan ditahan atau dikenakan saman.
Kove kemudiannya mula memohon maaf dan menyatakan bahawa dia tidak berniat untuk menjadikan insiden itu sebagai satu kesalahan jenayah.
Bagaimanapun, Hannah Kim memaklumkan dia tidak berhasrat untuk membuat pendakwaan, tetapi mahu laporan rasmi difailkan sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya insiden seumpama itu berulang.
Kove kemudiannya diiring keluar dari lokasi acara dan dimaklumkan bahawa dia tidak dibenarkan lagi menghadiri acara berkenaan susulan kelakuannya.
Polis turut memaklumkan bahawa walaupun tiada pendakwaan dibuat, perbuatan Kove tetap dianggap melanggar undang-undang di Washington dan tidak akan bertoleransi pada masa hadapan.