Festival Budaya Filem China-Malaysia himpun karya sinematik - Utusan Malaysia

Festival Budaya Filem China-Malaysia himpun karya sinematik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Edisi kedua Festival Budaya Filem China-Malaysia secara rasminya telah dibuka di GSC Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur dan GSC Gurney Plaza, Pulau Pinang bermula 30 Mei lalu.

Dianjurkan oleh Lomo Pictures Sdn Bhd dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) festival itu berlangsung sehingga 8 Jun ini.

Festival ini juga merupakan anjuran bersama GSC International Screens dan China Film Archive, Trico Group dan Hong Jun Capital.

Festival tahun ini menghimpunkan barisan karya sinematik yang memukau dari kedua-dua negara daripada filem warisan yang telah di baik pulih (restored) dan hits kontemporari hinggalah kepada forum yang meneroka persilangan sinema dengan kaedah terbaharu XR dan AI—dengan menawarkan pertukaran budaya melalui bahasa universal filem.

Majlis perasmian turut dihadiri oleh  Timbalan Menteri Komunikasi Malaysia, Teo Nie Ching, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib bersama para tetamu kehormat dari sektor filem dan budaya. 

Menurut Teo, festival berkenaan bukan sekadar sambutan meraikan karya kreatif tetapi sebagai penghubung budaya antara dua negara.

“Kelebihan budaya yang serasi dan tiada halangan bahasa. Kita melihat ia potensi besar dalam kerjasama merentas filem, animasi dan teknologi baharu,” katanya.

Sementara itu, sebagai Pengerusi Penganjur, Aron Koh menyifatkan festival itu platform unik untuk para pembikin filem, profesional industri dan peminat muda dari kedua-dua negara untuk berkongsi minat dan perspektif.

“Melalui dialog dan kerjasama, ia menyerlahkan kuasa sinema dalam meraikan kepelbagaian dan merapatkan jurang budaya. 

“Setiap filem dalam barisan kami telah dipilih dengan teliti bagi mencerminkan kekayaan warisan sinematik dan suara unik masa kini,” ujarnya.

Tahun ini bakal menampilkan pelbagai sorotan filem menarik antaranya: Filem bisu klasik tahun 1934 The Goddess yang telah dibaik pulih dengan dibintangi oleh legenda layar Ruan Lingyu dan komedi klasik Hong Kong It’s a Mad, Mad, Mad World turut dibawakan kembali ke layar perak, bagi menggambarkan semangat zamannya. 

Manakala filem pecah China seperti Creation of the Gods I: Kingdom of Storms dan Creation of the Gods II: Demon Force turut ditayangkan bersama komedi romantik Honey Money Phony dan filem thriller A Place Called Silence, semuanya memaparkan kepelbagaian sinema komersial China.

Dalam pada itu, Malaysia menyajikan karya yang diiktiraf seperti Guang, Sepet, dan Blooms of Happiness mewakili penceritaan yang menyentuh hati selain dekat dengan budaya tempatan.

Selain tayangan filem, festival ini turut menganjurkan program industri khas termasuk forum berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan pembikinan filem, serta bengkel lakonan yang dikendalikan oleh pengarah tersohor Hong Kong, Clifton Ko. 

Platform ini memberikan pandangan penting tentang bagaimana teknologi yang berkembang sedang mengubah cara penceritaan di seluruh Asia.

Istimewanya lagi, Lomo Pictures turut mengumumkan kerjasama strategik jangka panjang bersama Beijing Tianying Holdings Group Co., Ltd., dengan rancangan untuk membangunkan produksi bersama XR (Realiti Terimbuh) yang pertama antara China dan Malaysia. 

Ini menandakan satu fasa terbaharu dalam kerjasama rentas negara dalam bidang teknologi filem, sekaligus memperkukuhkan lagi peranan Malaysia di pentas kreatif global.

Semua tiket filem festival ini dijual dengan hanya RM10 dan boleh didapati melalui laman web rasmi GSC, aplikasi mudah alih GSC, atau kiosk layan diri di pawagam GSC terpilih.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN