PUTRAJAYA : Konflik antara komposer Man Senoi, Mama Rap bersama kumpulan 4U2C berhubung penganjuran konsert WE 4U2C Live In Concert dilihat mampu diselesaikan secara baik menerusi perbincangan sesama mereka.
Pandangan itu diluahkan oleh Ajai mewakili kumpulan Exist yang menaruh keyakinan bahawa kedua-dua pihak sepatutnya duduk berbincang bagi mencapai kata sepakat.
“Perkara ini sebenarnya boleh mencapai ‘win win situation’ dan mereka perlu saling berlebih kurang.
“Industri kita ini tak besar, kecil saja. Kalau kita berkeras sangat pun nanti satu apa pun tak jadi.
“Mungkin mereka ada masalah dalaman yang kita tak tahu tetapi perkara ini boleh diselesaikan, bawa-bawalah berbincang,” katanya.
Ajai bersama Exists ditemui pada sidang media Exists Premium Live @ PJ di pusat beli-belah IOI City, di sini, petang tadi.
Konsert berkenaan dijadual berlangsung di JioSpace, Petaling Jaya, pada 4 Oktober depan.
Selain itu, Ajai yang berpengalaman berhadapan dengan perkara seumpama itu, berkata, wajar untuk setiap penggiat industri peka dengan ilmu berkenaan hak cipta.
“Badan pelesenan iaitu Music Authors’ Copyright Protection Berhad (MACP) adalah untuk penulis dan apa yang Man Senoi dan Mama Rap cakap adalah berkaitan dengan ‘sound audio’ iaitu bahan rakaman.
“Apabila bercakap soal bahan rakaman, memang ia adalah hak kepada ‘investor’. Ingat tak perkara ini pernah terjadi kepada Dayang Nurfaizah di mana lagu ciptaan saya, Seandainya Masih Ada itu tidak dapat dinyanyikan selama hampir tiga ke empat tahun.
“Tetapi selepas selesai urusan mahkamah, barulah Dayang boleh menyanyikan semula lagu itu.
“Jadi apa yang saya nak pesan kepada penyanyi dan mereka yang ada dalam industri untuk faham mengenai perkara sebegini. Jangan main langgar-langgar sebab ia membabitkan hak cipta yang digunakan seluruh dunia.
“Saya tak pastilah mereka boleh teruskan konsert atau tidak tetapi kalau ikut peraturannya, tidak boleh sebab ‘master’ adalah Man Senoi. Tindakan mereka itu wajar sebab dia adalah pemilik. Cuma jika ikut perikemanusiaan, perkara ini boleh dibawa berbincang untuk selesaikan masalah ini,” katanya.
Dalam masa yang sama, pemain gitar Exists iaitu, Along berkata, 4U2C juga berhak bertanyakan berkenaan royalti kepada Man Senoi.
“Perkara itu pula, Man Senoi perlu bertanggungjawab juga. Pada saya tak salah kalau 4U2C buat konsert sebab nanti Man Senoi akan dapat royalti juga.
“Bagi kami, industri kita tak besar, kecil sahaja, kalau kita kerasa sangat nanti apa pun tak jalan. Bagi kami 4U2C tak salah untuk buat konsert, ini untuk perkembangan industri kita,” katanya.
Terdahulu, timbulnya kemelut di sebalik penganjuran konsert 4U2C apabila komposer Man Senoi dan Mama Rap dilapor berkata, hak cipta sepenuhnya terhadap lagu-lagu 4U2C adalah milik mereka, namun tidak dimaklumkan mengenai penganjuran konsert itu.
Memetik laporan Harian Metro, Man Senoi dan Mama Rap turut berkongsi mengenai permulaan 4U2C yang dikumpulkan oleh mereka berdua dan proses perjuangan untuk memastikan kumpulan itu dapat mencipta nama dalam industri seni tanah air.
Man Senoi turut dilapor mempersoalkan bagaimana kumpulan berkenaan hendak mengadakan konsert jika 25 lagu dinyanyikan adalah hak milik syarikat mereka, Zman Production.
Konsert WE 4U2C Live In Concert anjuran Juss Event akan menghimpunkan tujuh anggota 4U2C iaitu Datuk AC Mizal, Aren, Yanz, Rinz, Lanz, Charlie dan Azam.