Lintasan Rafah dibuka minggu depan, buka ruang untuk misi bantuan

Lintasan Rafah dibuka minggu depan, buka ruang untuk misi bantuan

TRAK yang sarat bantuan kemanusiaan menunggu kebenaran untuk masuk ke Gaza di persimpangan Rafah sebelah Mesir.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAHERAH: Lintasan sempadan Rafah antara Gaza dan Mesir akan dibuka semula di kedua-dua arah minggu depan, susulan pelaksanaan gencatan senjata dengan Israel.

Menurut laporan Xinhua, pengantara memaklumkan perkembangan tersebut kepada Hamas.

Sumber Hamas turut memberitahu Al-Aqsa TV, lintasan itu dijangka dibuka semula pertengahan minggu depan bagi membolehkan pergerakan keluar masuk penduduk di wilayah berkenaan.

Namun, tiada butiran lanjut diberikan mengenai operasi lintasan atau kategori pengembara yang akan dibenarkan melaluinya.

Menurut sumber, pengantara turut memaklumkan bantuan kemanusiaan serta bekalan penting termasuk bahan api dan gas dibenarkan masuk ke Gaza secara bebas bermula Sabtu, selain perbincangan sedang dijalankan bagi memulihkan bekalan elektrik di wilayah tersebut.

Pengumuman dibuat selepas tentera Israel mengesahkan gencatan senjata dengan Hamas berkuat kuasa tengah hari Jumaat.

Tentera Israel berkata, pasukannya berundur dari beberapa kawasan dan disusun semula mengikut garis baharu ‘selaras dengan perjanjian gencatan senjata serta pembebasan tebusan’.

Sementara itu, misi Kesatuan Eropah (EU) di persimpangan Rafah akan disambung semula, dengan lintasan pejalan kaki dijadualkan dibuka 14 Oktober.

Itali mengesahkan menyambung semula penyertaannya dalam Misi Bantuan Sempadan Kesatuan Eropah (EUBAM), yang bertujuan menyediakan kehadiran pihak ketiga di persimpangan utama dan melibatkan polis dari Itali, Sepanyol serta Perancis.

Misi berkenaan dikerahkan pada Januari semasa gencatan senjata terdahulu, namun digantung pada Mac selepas Israel mencabul perjanjian dan menyerang semula Gaza.

Menteri Pertahanan Itali, Guido Crosetto, membenarkan Ketua Turus Pertahanan, Jeneral Luciano Portolano, untuk mengarahkan penyambungan misi mengikut prosedur sama seperti 25 Januari, dengan penyelarasan Kementerian Luar Negeri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN