KUALA LUMPUR: Pelakon versatil, Bell Ngasri atau nama sebenarnya Nasrizal Ngasri, mengakui sukar melupakan kenangan bersama aktor senior, Harun Hashim, ketika terbabit menjayakan drama berjudul Pa’e, 28 tahun lalu.
Ini kerana, kata Bell, dia hairan mengapa Harun benar-benar telah mengasarinya secara fizikal sedangkan perkara itu tidak termaktub di dalam perjanjian kontrak lakonan.
“Saya jadi tertanya-tanya, kenapa dia buat saya macam ini? Sampai pukul betul-betul, terajang, tampar, pijak.
“Adakah karakter dia macam itu?”katanya dalam satu temu bual di siaran podcast SIAR, baru-baru ini.
Menurut Bell, walaupun hati kecilnya memberontak untuk meninggalkan set penggambaran ketika itu, dia bagaimanapun memilih untuk berfikir secara positif demi kelangsungan karya
“Kalau ikutkan, saya nak lari daripada set itu. Dan kalau saya lari daripada set itu, saya tak teruskan, tak adalah cerita Pa’e itu. Masa itu, boleh dikatakan tular jugalah cerita itu, sampai sekaranglah.
“Mungkin saya rasa penghayatan Harun ketika itu terlalu baik. Dia dapat rasakan betapa kurang ajarnya saya ini sebagai Ajoy dan dia tidak tahan marah,”katanya.
Bercerita lanjut, Bell mengakui dirinya benar-benar terasa hati dengan tindakan Harun sehingga membawa diri masuk ke dalam van produksi selepas adegan itu dijayakan.
Namun, pujukan dan semangat yang diberikan oleh pengarah, Shaharuddin Sulaiman termasuk pelakon lain di set telah membuka kembali semangatnya untuk terus melakonkan watak berkenaan.
“Saya merajuk sebenarnya masa itu. Saya lari masuk dalam van. Tapi nasib baik ada abang Nasir Bilal Khan pujuk saya, katanya, ‘dahlah, habiskanlah cerita ini’.
“Saya kata, saya tak boleh macam ini. Berlakon itu berlakonlah kan? Bukannya kena betul-betul. Kalau masa tandatangan kontrak dan di dalam itu dimaklumkan yang saya akan kena pukul betul-betul dalam cerita itu, memang saya tak akan tandatangan.
“Jadi bila dah kena pukul, pijak dan ditampar itu, ia buat saya terfikir-fikir, kenapa dia buat saya sebegitu sekali? Dan jika saya betul lari daripada set ketika itu, tak akan menjadilah ia sampai ke hari ini,”katanya.
Drama pada itu, kata Bell lagi, dia bagaimanapun tidak menyesal terbabit dalam naskhah tersebut yang dianggapnya sebagai satu drama terbaik pernah dibawakan olehnya sepanjang bergelar seorang anak seni.
“Saya rasa syukur kepada Allah kerana menyabarkan saya. Cerita itu dah jadi satu cerita yang legenda,” katanya.