Cakra Khan belanjakan RM6,000 sebulan demi 30 ekor kucing peliharaannya - Utusan Malaysia

Cakra Khan belanjakan RM6,000 sebulan demi 30 ekor kucing peliharaannya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi popular kelahiran Indonesia, Cakra Khan, mendedahkan, dia membelanjakan hampir RM6,000 sebulan semata-mata untuk menampung keperluan 30 ekor kucing peliharaannya di rumah.

Menurut Cakra, kebanyakan kucing yang dipelihara adalah kucing jalanan terbiar yang diambil untuk dirawat dengan penuh kasih sayang.

Malah, dia secara peribadi berpendapat, setiap seekor kucing itu umpama sebahagian daripada rezekinya.

“Saya yakin, ketika kucing itu ada di rumah saya, itu adalah bahagian rezeki saya untuk mereka.

“Saya tak pernah takut kehabisan wang untuk merawat mereka kerana saya percaya pasti akan ada jalan. Kalau ditanya mengenai kos rawatan, mungkin dalam RM6,000 jugalah saya tetapkan untuk keperluan kucing-kucing saya.

“Ia termasuk makanan harian, pemeriksaan veterinar mingguan, rawatan kesihatan serta pembelian kelengkapan khas seperti generator oksigen dan mini klinik bagi kucing yang memerlukan penjagaan rapi.

“Saya buat begitu kerana baru-baru ini saya selamatkan seekor kucing yang ada masalah jantung dan memerlukan oksigen sepanjang masa. Jadi saya beli oksigen generator dan buat mini klinik untuknya,” ujarnya.

Cakra berkata demikian ketika ditemui di sidang media Konsert Divine Cakra Khan di Alila Bangsar, semalam.

Selain itu, kongsi penyanyi lagu Kekasih Bayangan dan Harus Terpisah ini berkata,dia juga tidak mengutamakan baka dalam pemilihan haiwan peliharaan sebaliknya menekankan soal tanggungjawab dan kasih sayang.

“Kalau kita betul-betul sayangkan haiwan, kita tak perlu lihat pada baka. Saya pelihara semua jenis kucing jalanan. Yang penting mereka sihat dan selamat bersama saya,” katanya lagi.

Selain merupakan pencinta kucing, Cakra juga berkongsi minatnya terhadap aktiviti bercucuk tanam yang dijadikan sebagai terapi diri setelah penat bekerja.

“Kalau saya tidak bersama haiwan-haiwan saya, saya akan menanam sayur di rumah. Ia seperti satu bentuk ‘recharge’ untuk minda saya.

“Saya punyai kebun di kampung dan antara tanaman yang ada termasuk moringa, betik, bawang putih, cili dan bunga kantan,”ujarnya.

Dalam pada itu, Cakra juga menyatakan impian untuk membuka pusat perlindungan haiwan suatu hari nanti namun masih mencari lokasi yang sesuai terutama di kawasan luar bandar yang lebih tenang.

“Membina pusat perlindungan bukan perkara mudah, banyak yang perlu dipertimbangkan termasuk penerimaan jiran-jiran kerana tidak semua orang sukakan haiwan.

“Jadi kita kena pilih tempat yang sesuai dan jangan pentingkan diri sendiri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN