KUALA LUMPUR : Kumpulan Inteam, memohon semua pihak supaya berpada-pada dalam memberikan kenyataan berkaitan bekas anggota kumpulan mereka iaitu, Allahyarham Suhaimi Saad.
Perkara itu dikongsikan oleh pengendali akaun Instagram kumpulan tersebut semalam.
“Dalam keghairahan kita sama-sama meraikan kemeriahan konsert, kami mohon berpada-padalah memberi komen kepada sahabat kami dan bekas anggota Inteam Allahyarham Suhaimi Saad,” tulis kenyataan itu.
Selain itu, tambah Inteam, kata-kata yang tidak elok diyakini secara tidak langsung bakal memberikan kesan kepada pihak keluarga.
“Sama-sama kita menghormati keluarga beliau. Mari sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah kepadanya,” katanya.
Baru-baru ini, Inteam memaklumkan mereka bakal mengundang anak-anak arwah Suhaimi Saad untuk sama-sama membuat persembahan di konsert yang diadakan sempena ulang tahun ke-25 kumpulan berkenaan.
Konsert Kasih Kekasih tersebut bakal diadakan pada September depan dan mengambil tempat di Arena Live Petaling Jaya.
Sebelum ini, jualan tiket konsert yang sepatutnya dipentaskan di Zepp Kuala Lumpur habis dijual dalam tempoh dua jam.
Jualan tiket bagi lokasi baharu di Petaling Jaya membabitkan 2,500 tiket akan dibuka kepada peminat mulai 14 Jun ini melalui platform Ticket Empire.