Artis perlu jadi suri teladan, itu harga harus dibayar - Khairy Jamaluddin

Artis perlu jadi suri teladan, itu harga harus dibayar – Khairy Jamaluddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selebriti dan juruhebah Hot FM, Khairy Jamaluddin, 49, menasihatkan golongan artis supaya bersikap bertanggungjawab dalam memberikan contoh yang baik kepada peminat dan masyarakat.

Menurut Khairy yang lebih mesra disapa sebagai KJ, meskipun ada ketika keadaan itu sukar, namun baginya itu adalah satu daripada harga yang harus dibayar oleh seseorang figura awam.

“Secara dasarnya, apabila kita berada dalam dunia hiburan, suka atau tidak, kita akan jadi suri teladan.

“Bukan saya kata kita patut mengidolakan artis, sebab itu lumrah yang mana sudah tentu artis akan ada penyokong dan peminat.

“Apabila kita berada di tempat itu sama ada sebagai artis atau ahli politik, malangnya, kita memang kena ada rasa tanggungjawab untuk menjadi satu watak yang boleh menjadi contoh,”katanya.

Selain itu, mantan Menteri Kesihatan ini mengakui tidak menolak bergelar selebriti atau figura awam juga tidak mudah memandangkan kisah peribadi akan sentiasa menjadi sasaran bualan ramai.

“Sebab itu saya katakan ia susah. Sebab golongan selebriti ini masing-masing ada kisah peribadi sendiri.

“Itu adalah salah satu pengorbanan yang kita buat apabila bergelar figura awam. Itu adalah harga yang perlu dibayar,”ujarnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada golongan selebriti tidak wajar mengambil kesempatan terhadap peminat dan penyokong, KJ mengakui enggan memberi sebarang komen mengenai isu spesifik yang sedang berlaku dalam industri hiburan tanah air.

“Biarlah siasatan dibuat dan sebagainya tetapi tentu sahaja sebagai figura awam kita kena sentiasa bertanggungjawab dan menghormati semua pihak dan peminat,”katanya.

Baru-baru ini, dunia hiburan kecoh apabila seorang pelakon dan penyanyi lelaki terkenal ditahan polis, semalam bagi membantu siasatan berhubung kes amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan di sebuah hotel di Selangor.

Mangsa berusia 17 tahun itu difahamkan mengenali artis terbabit ketika bekerja di sebuah kafe sebelum mereka beberapa kali bertemu susulan perkenalan itu.

Dalam perkembangan lain, KJ hadir merasmikan Majlis Pelancaran menu baharu jenama minuman Tealive di IOI Mall Putrajaya, pagi tadi.

Dalam majlis tersebut, dia juga merupakan penyokong kuat sebarang inovasi dan keusahawan tempatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN