LOS ANGELES : Anak perempun pasangan selebriti popular, Angelina Jolie dan Brad Pitt, iaitu Shiloh Nouvel Jolie-Pitt, kini rasmi menukar namanya kepada Shiloh Jolie.
Perkara itu sekali gus menyaksikan Shiloh menggugurkan nama keluarga Pitt daripada identiti peribadinya.
Perubahan ini difailkan secara rasmi di Mahkamah Tinggi Los Angeles bertepatan dengan ulang tahunnya yang ke-18 pada 27 Mei 2024.
Shiloh menggunakan khidmat peguam yang dibayar sendiri sebagai tanda keputusan peribadi dan kematangannya dalam membentuk identiti sendiri.
Menurut laporan media antarabangsa, tindakan ini dipercayai sebagai satu langkah Shiloh untuk menjauhkan diri daripada bapanya, Brad Pitt, berikutan hubungan yang dikatakan semakin renggang sejak perceraian kedua ibu bapanya.
Menurut sumber terdekat, Brad juga berasa kecewa dan terluka dengan tindakan anaknya itu.
Shiloh bukan satu-satunya anak pasangan itu yang menggugurkan nama Pitt.
Kakaknya, Zahara, telah memperkenalkan dirinya sebagai Zahara Marley Jolie semasa menyertai pertubuhan pelajar di kolej Spelman, manakala adik perempuannya, Vivienne, juga menggunakan nama Vivienne Jolie dalam penglibatan teater bersama Angelina.
Dalam perkembangan lain, Shiloh juga memulakan langkah profesional dalam bidang seni persembahan dengan nama pentas Shi Jolie.
Malah, dia juga pada baru-baru ini bertindak sebagai koreografer untuk persembahan tarian di acara pelancaran fesyen Isabel Marant di Los Angeles, menandakan kemunculan pertamanya secara rasmi sebagai artis bebas.
Perubahan nama Shiloh ini memperlihatkan dinamika keluarga Jolie-Pitt yang terus berubah selepas perceraian pasangan selebriti itu yang dimuktamadkan pada Disember 2024.