Allahyarham Zaleha Hamid memang persis bintang Bollywood - Ifa Raziah - Utusan Malaysia

Allahyarham Zaleha Hamid memang persis bintang Bollywood – Ifa Raziah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pengacara versatil, Ifa Raziah, tidak menolak bahawa pemergian penyanyi legenda dangdut tanah air, Allahyarham Zaleha Hamid, bagaikan sebutir permata berharga yang telah hilang.

Ini kerana, katanya, kehebatan Zaleha ketika zaman kegemilangannya sukar ditandingi dan merupakan seorang figura unggul dalam bidang muzik dangdut tanah air.

“Saya kagum dengan kehebatan Allahyarham Zaleha yang membuka jalan kepada ramai artis wanita tempatan untuk berani membawa irama dangdut ke arus perdana.

“Memang saya sebagai penyanyi dangdut pelapis baharu, tetapi tetap tak boleh menandingi kehebatan ratu dangdut, ratu gelek Zaleha Hamid,”katanya dalam satu hantaran video di Instagram.

Menurut Ifa lagi, Allahyarham Zaleha merupakan antara artis wanita terawal yang memperkenalkan dan mempopularkan irama dangdut di Malaysia.

Katanya, kehadirannya bukan sahaja memberi warna baharu dalam industri, tetapi turut mengangkat martabat genre itu di mata masyarakat.

“Walaupun beza usia kami jauh, saya muda dan dia lebih berusia, tapi bila anda lihat dia bergelek, menyanyi dengan suara yang cukup lemak merdu, memang persis bintang Bollywood.

“Suaranya sangat unik, lagu-lagunya popular dan kekal malar segar sampai hari ini. Bila saya buat persembahan dengan dia, saya memang rasa teruja, bangga dan hormat,”katanya.

Dalam nada penuh emosi, Ifa turut mengakui belum ada mana-mana penyanyi dangdut pelapis, termasuk dirinya sendiri, yang mampu menandingi kehebatan Allahyarham Zaleha.

“Setakat ini, belum ada lagi yang sehebatnya. Walau sehebat mana pun kita, kita masih belum mampu menandingi kehebatan ratu dangdut Malaysia, Zaleha Hamid,” katanya.

Semalam, penyanyi dangdut era 1980-an, Zaleha Hamid, 65, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bharu, jam 8.30 malam.

Berita pemergian penyanyi lagu Dangdut Reggae itu disahkan suaminya, Ungku Sulaiman Ungku Aziz. Allahyarham sudah seminggu berada di hospital akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN