KUALA LUMPUR : Pelawak dan pengacara, Johan,41, mengakui dirinya berasa tersentuh setiap kali mengenang momen perjalanan dan pengalamannya ketika melakukan ibadah Haji di Tanah Suci pada tahun lalu.
Menurut Johan atau nama sebenarnya, Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz, pengalaman yang ditimba bersama isterinya, Ozlynn Waty, 44, itu akan sentiasa tersemat di minda dan di hati masing-masing sehingga ke akhir hayat.
“Saya sangat tersentuh sebab bila teringat semula momen itu, saya sebenarnya tiada apa-apa kecuali Allah.
“Sebab di hari Arafah, ia adalah antara kita dan Allah manakala ketika berada di kota Mina, ia adalah antara kita dengan manusia.
“Sebab di Mina itulah ada orang boleh jadi bergaduh, bercerai, bertekak, berkelahi, di situlah. Ujian yang besar antara manusia adalah di Mina.
“Jika di Arafah, itu adalah antara kita dengan-Nya. Tiada pengantara sebab langit terbuka,”katanya ketika bersiaran di radio Hot FM, pagi tadi.
Selain itu, katanya yang turut dikenali sebagai Johan Raja Lawak ini, dia sangat bersyukur dan sayu hati setiap kali mengenang ibadah yang dilakukan di Tanah Suci kerana Allah telah memberikannya rasa yang sangat mendalam.
“Ketika melakukan ibadah Haji tahun lalu, sepanjang masa Allah bagi saya rasa dalam setiap ibadah yang saya lakukan bersama isteri saya.
“Jadi apa yang saya minta dengan Allah, sebelum balik ke Malaysia, cuma satu, iaitu jangan Dia hilangkan rasa itu setiap kali saya melakukan ibadah,”ujarnya.
Johan dan Ozlyn Waty merupakan antara 13 penggiat industri seni dan pengamal media yang dijemput oleh Kementerian Media Arab Saudi bagi mengerjakan rukun Islam kelima musim haji tahun lepas.
Turut menyertai kumpulan jemaah yang sama ialah pelakon, Elfira Loy.