KUALA LUMPUR: Gara-gara memuat naik sekeping gambar cincin di Instagram hari ini, penyanyi, Wani Kayrie, didakwa bakal menjadi tunangan orang.
Tidak menyatakan sebarang kenyataan di ruangan kapsyen, tindakan Wani itu bagaimanapun telah menuai ucapan tahniah daripada pengikutnya yang menganggap penyanyi itu sedang memberi tanda isyarat mengenai hari bahagianya.
Bagaimanapun, pihak pengurusan Wani iaitu Rocketfuel Entertainment ketika dihubungi Utusan Malaysia tidak dapat memberikan komen lanjut berhubung perkara tersebut.
“Maaf, buat masa ini, kami belum ada sebarang kenyataan untuk dikongsikan. Jangan risau, kami akan kongsi jika ada sebarang perkembangan,”kata pihak pengurusan.
Sebelum itu, usaha Utusan Malaysia menghubungi Wani untuk mendapatkan kesahihan mengenai perkara itu juga gagal kerana penyanyi lagu Jangan-Jangan dan Aiman Tino itu tidak menjawab panggilan telefon.
Terdahulu, Wani atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah menimbulkan tanda tanya ramai setelah memuat naik sekeping gambar cincin di media sosial.
Tindakannya itu seolah-olah memberi bayangan bahawa dirinya telah disunting orang sekali gus bakal menamatkan zaman bujangnya.
Sebelum ini, Wani pernah dikaitkan bercinta dengan penyanyi dan pelakon, Afieq Shazwan.
Bagaimanapun perkara itu dinafikan oleh Wani selain mendakwa dia dan Afieq sekadar bersahabat baik sebagai rakan industri.