KUALA LUMPUR : Pengacara dan pempengaruh, Hazeman Huzair, berpendapat, golongan netizen di negara ini terlalu mudah terpedaya dengan ‘umpan’ seorang pempengaruh lain yang mengundang kemarahan orang ramai melalui video yang tular di media sosial baru-baru ini.
Menurut Hazeman, tindakan pempengaruh yang dikenali sebagai DMA Islam itu sebenarnya adalah satu langkah untuk dirinya meraih perhatian mudah daripada golongan netizen.
Bahkan dakwa Hazeman, dia tidak menolak bahawa tindakan itu sanggup dilakulan DMA Islam kerana terdesak gara-gara sudah tidak ada tawaran dan sebagainya.
“Ini dinamakan sebagai umpan. Mungkin dia sekarang ini tidak relevan, ‘enggagement’ sedang menurun, jadi dia nak dapatkan semula perhatian daripada anda semua ini.
“Jadi apa yang dia buat ialah mengumpan kemarahan orang lain semualah. Saya tak rasa manusia normal seperti yang lain akan cakap macam itu berkenaan kos-kos orang lain, melainkan dia ada objektif lain.
“Media sosial adalah tempat untuk mencari perhatian. Sebab itu orang kata kalau masuk hutan nampak benda pelik jangan tegur.
“Ini nampak benda pelik (video DMA Islam) pergi tegur,”katanya.
Menurut Haze lagi, dia telah beberapa kali mengingatkan kepada warganet bahawa tarikan media sosial adalah perhatian.
“Sibuk bagi dia perhatian kenapa? Sepatutnya ‘block’ sahaja dia,”katanya.
Dalam pada itu, Haze turut menasihati agar pencipta kandungan dan pempengaruh tidak menggunakan strategi jenis itu untuk mempromosi barangan di media sosial.
“Kalau ada yang berasa terinspirasi dengan video itu dan buat cara sama, jangan tau! Sebab itu kalau nak jadi pencipta kandungan (content creator) kena berguru.
“Tak semua ilmu itu bodoh,”katanya.
Terdahulu, seorang pempengaruh picisan tampil dengan sebuah video menghentam bidang pengajian di universiti termasuk Komunikasi dan Media, Teater dan Seni Tari.
Dakwa pemuda tersebut, bidang tersebut tidak mendatangkan manfaat dan tidak bijak.