PETALING JAYA: Pengarah dan pelakon, Pierre Andre, 40, mengakui tidak berasa cemburu atau tercabar dengan Syamsul Yusof dan adiknya, Syafiq Yusof meskipun telah 10 tahun berehat dari dunia pengarahan filem.
Menurut Pierre, tidak timbul isu cemburu dengan pencapaian dan kejayaan yang diraih oleh kedua-dua anak Datuk Yusof Haslam itu kerana fokus utama adalah memastikan dirinya juga tidak ketinggalan dalam bidang ini.
“Saya tak berasa tersaingi sebab musuh sebenar saya adalah diri sendiri. Saya selalu ‘berperang’ dengan diri saya. Kejayaan mereka adalah inspirasi untuk saya menjadi lebih baik.
“Saya tengok bagaimana Syafiq contohnya, dia mampu hasilkan sebuah filem dengan kutipan begitu tinggi dan sekarang kalau tak silap dah capai RM76 juta dalam tempoh 33 hari.
“Waktu saya tengok trailer filem itu pun saya rasa dia mampu raih RM30 juta sangat mudah. Ia buat saya fikir, kalau dia boleh mesti saya pun boleh buat, cuma saya tak dapat ‘kuncinya’ lagi,”katanya.
Pierre berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Doa Selamat filem Nar’Sata Sekufu Setan di Ibu Pejabat Metrowealth, di sini, semalam.
Selain itu, Pierre berkata, dia perlu memastikan dirinya tidak ketinggalan dalam bidang pengarahan ini kerana landskap dunia perfileman tempatan juga sudah berbeza berbanding 10 tahun lalu.
“Sudah tentu saya pun tak mahu ketinggalan jauh. Kutipan RM100 juta dengan RM2 juta, jauh sangat bezanya itu. Sekarang ini kalau dapat kutipan RM2 juta ia dilihat bukan sesuatu yang membanggakan.
“Kutipan filem saya sebelum ini pun kebanyakannya di bawah RM5 juta. Saya kena ‘kejar’ lagi untuk jadi lebih baik,”katanya.
Dalam pada itu, anak kepada pelakon senior, Khatijah Tan ini juga berkata, dia sentiasa bersedia menerima pandangan bernas daripada pelbagai pihak terutama penonton dalam usaha menambahbaik kualiti hasil kerjanya.