KUALA LUMPUR : Pelawak dan pelakon, Yassin Yahya,48, atau lebih dikenali sebagai Yassin Senario menafikan bahawa dia telah menghafal 30 juzuk Al-Quran semasa berada di dalam tahanan sebuah lokap di Jeddah, Arab Saudi enam bulan lalu.
Bagaimanapun, kata Yassin, semasa berada di sana, dia sempat khatam Al-Quran sebanyak dua kali.
“Mana ada saya hafal 30 juzuk, nak hafal dua surah pun susah. Cumanya adalah khatam Al-Quran satu dua kali,”katanya.
Mengulas mengenai ‘kehilangannya’ dalam tempoh itu, kata Yassin, dia mengakui keadaan itu berlaku berpunca kerana pihak penguatkuasa di Jeddah telah bertindak menggeledah begnya sebelum menemui rokok dan alat pengisar tembakau.
“Saya bawa alat pengisar itu kerana ada sebab kenapa saya kena bawa. Mereka nak tengok agaknya saya ini pembekal ke, penyeludup ke. Mereka ambil beg kecil yang saya pakai dan hampas-hampas tembakau yang ada disatukan.
“Mereka timbang semua itu termasuk sebatang rokok yang dihancurkan, benda itu nampak jadi banyak. Saya fikir, mungkin kerana lambang pada alat pengisar itu agaknya menyebabkan mereka sangsi.
“Mereka bagi saya hisap sebatang rokok mungkin nak tengok ada bau apa-apa, kemudian saya dibawa pergi ke lokap. Apa yang saya pelik, tak akanlah tak ada seorang pun ejen datang cari selepas lapan hari saya ditahan.
“Hari kesembilan, syaa dah fikir masuk penjara dah. Saya dah fikir teruk dah, kalau di lokap pun saya tidur berdiri apatah lagi di penjaranya,”katanya.
Dalam pada itu, Yassin tidak menolak bahawa apabila seseorang individu itu mempunyai sejarah lampau tentang sebarang kesalahan, perkara itu akan diungkit oleh setiap orang.
“Mulut orang kita tak boleh nak tutup. Orang boleh buat bermacam-macam spekulasi. Ada yang nak tunjuk hebat lebih daripada wartawan, itu semua publisiti murahan.
“Mereka akan kaitkan dengan perkara dulu-dulu, orang jadi tak sabar nak tunggu apakah ada benda-benda baharu daripada saya.
“Fikiran awak semua cetek. Saya tak boleh hendak layan cara anda itu sebab saya yang lalui. Awak semua pun boleh bezakan orang yang berpengalaman dengan orang yang ‘poyo’ nak jadi wartawan,”katanya.
Sementara itu, Yassin juga berterima kasih kepada semua anggota kumpulan Senario dan isteri yang tidak pernah membuka aib mengenai dirinya sepanjang ditahan di Jeddah.
“Saya ingin berterima kasih kepada abang-abang saya (Senario) kerana mereka sedaya upaya untuk menutup kisah saya.
“Saya doakan kita sentiasa sihat dan kekal selamanya. Saya bersyukur kerana kita diberi peluang untuk bersama-sama. Terima kasih juga pada isteri saya kerana menjaga aib suamimu,”ujarnya.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pelawak ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah pada Oktober tahun lalu selepas disyaki memilik ganja.
Laporan itu membuatkan ramai mengaitkan dengan Yassin kerana ketiadaannya dalam kebanyakan program yang melibatkan kumpulan Senario.