Tak fasih bahasa Punjabi, Shweta terpaksa belajar dengan nenek - Utusan Malaysia

Tak fasih bahasa Punjabi, Shweta terpaksa belajar dengan nenek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Pelakon jelita, Shweta Sekhon, 28, mengakui dia terpaksa belajar semula bahasa Punjabi dengan neneknya meskipun dia merupakan wanita berketurunan itu.

Menurut Shweta, keadaan itu berlaku kerana selama dia membesar, dia tidak mahir bertutur dalam bahasa berkenaan dan lebih fasih berbahasa Melayu.

Selain nenek, kata Shweta, dia juga berasa bertuah kerana turut dibantu oleh rakan pelakon, Anwaar Beg Moghal ketika di set penggambaran filem Keluang Man.

“Terus-terang, saya lagi fasih berbahasa Melayu berbanding bahasa ibunda (Punjabi) sendiri sebab saya sekolah kerajaan, manakala kawan karib semua orang Melayu.

“Tak pernah cakap bahasa ibunda tetapi sebab filem Keluang Man saya ambil peluang duduk dengan nenek dan buat kerja rumah.

“Saya mula cakap balik bahasa Punjabi dan bukan tengok cerita Hindustan tetapi cerita Punjabi. Anwaar juga lebih fasih, jadi dia banyak tolong saya,” katanya.

Shweta berkata demikian ketika ditemui di majlis tayangan gala Keluang Man di sini, semalam.

Tidak cuma itu, kongsi Shweta,dia juga membuat ulang kaji mengenai siri popular animasi Keluang Man sebelum masuk ke set penggambaran.

“Pada hari saya dapat skrip, saya terus buat kerja rumah. Ibu saya semua tahu Keluang Man tetapi saya bukan generasi itu.

“Jadi, saya memang kena buat kajian sendiri. Untuk angkat karakter dari legasi, saya kena faham siapa Doktor Malini (karakter),” ujarnya.

Selain Shweta, filem arahan Anwari Ashraf itu dibintangi Nas-T, Datuk Remy Ishak dan Datuk Rosyam Nor.

Keluang Man merupakan siri animasi popular yang diperkenalkan pada akhir era 1990-an dan filem superhero ikonik Malaysia memulakan penggambaran pada 4 Mei tahun lalu.

Filem berdurasi 132 minit itu akan menemui penonton Malaysia dan Brunei bermula 29 Mei ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN