KUALA LUMPUR : Pelakon dan selebriti media sosial, Saharul Ridzwan, 36, tidak menolak bahawa sepanjang berada di hospital, pengalaman itu menyuntik keinsafan dan kesedaran buatnya untuk mengutamakan aspek kesihatan.
Tidak menyatakan sebab mengapa dia berada di hospital, Saharul bagaimanapun turut menasihatkan pengikut dan warganet supaya melihat akan kepentingan kesihatan terutama dalam usaha untuk terus melakukan amal.
“Hari ini saya di hospital lagi. Tengok ramai orang sakit, sambil tengok sekeliling.Ada yang muda, ada yang tua. Ada yang kaya, ada yang sederhana. Tapi semuanya terbaring. Tak kira status, tak kira pangkat.
“Masa itu saya terfikir kesihatan ini bukan bergantung pada banyaknya duit. Tapi bergantung pada banyaknya kesedaran. Kalau sihat itu hasil dari duit, orang paling kaya pasti paling sihat.
“Tapi hari ini saya nampak sendiri, yang paling mewah pun tetap kena baring atas katil hospital. Tetap tunggu dipanggil untuk rawatan.
Tetap perlukan doa. Sebab duit tak boleh beli kesihatan tapi akal boleh bantu kita usaha untuk sihat dan hati boleh bantu kita untuk terus beramal,”katanya.
Saharul berkata demikian dalam satu hantaran di Instagram hari ini.
Selain itu, pelakon filem Renjana dan Coast Guard Malaysia : Ops Helang ini turut berpendapat bahawa sakit yang diberikan oleh Allah kepada seseorang hamba-Nya juga tidak wajar dilihat sebagai satu bala.
“Sakit ini bukan bala. Sakit ini madrasah.
Tempat Allah ajar kita tentang sabar, tempat Allah bersihkan dosa dan tempat Allah bukakan jalan taubat.
“Bukan untuk orang sakit saja, tapi untuk saya yang Alhamdulillah sihat sekarang, moga-moga berkekalan sihat. Kadang-kadang, bila sihat, kita leka. Tapi bila sakit, kita tunduk, diam dan doa.
“Dan masa itu kita tahu rupa-rupanya sakit ini adalah kasih sayang Allah yang dalam,”katanya.
Pada masa yang sama, Saharul juga menasihatkan orang ramai supaya menjaga kesihatan dari aspek pemakanan, emosi termasuk dalam usaha beramal.
“Jika awak sihat hari ini, jaga makan, jaga emosi, jaga fikiran. Apa yang paling penting, jaga amal. Sebab sihat ini bukan untuk enjoy.
“Tapi untuk buat sebanyak-banyak kebaikan sebelum dipanggil pulang. Sakit itu peringatan.
Sihat itu peluang. Gunakan dua-duanya untuk kembali kepada Allah,”katanya.