Saya cuma mahu mama buat keputusan demi ketenangan, kebahagiaannya - Putri Dahlia - Utusan Malaysia

Saya cuma mahu mama buat keputusan demi ketenangan, kebahagiaannya – Putri Dahlia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUCHONG: Penyanyi yang juga anak kepada Datuk Nora Ariffin, Putri Dahlia,21, mengakui lebih selesa untuk tidak mencampuri urusan peribadi ibunya dengan bapa tiri, Dr Rushdi Ramli,meskipun sedar kemelut rumah tangga mereka diperkatakan ramai.

Putri Dahlia berkata, sebagai anak, dia hanya mahu ibunya membuat keputusan terbaik yang  mendatangkan ketenangan dan kebahagiaan dalam kehidupannya.

“Saya hanya nak ibu buat pilihan yang boleh buatkan dirinya gembira dan tenang. Saya hanya mahu ibu merasai ketenangan itu.

“Sekarang ini apa-apa saya percaya ibu pasti ada sebab dia tersendiri. Apa sahaja buat dia gembira, saya akan gembira,” katanya.

Putri Dahlia berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran muzik video lagu Aku Ada  yang turut menampilkan Zaki Yamani di The Port Family, IOI Mall Puchong, hari ini.

Putri Dahlia yang juga anak ketiga Nora hasil perkahwinan dengan Allahyarham Johan Nawawi berkata, dia juga sering menjadi ‘pakar terapi’ buat ibunya itu sekiranya berdepan masalah.

Jelasnya, dia juga sering meluangkan masa bersama ibunya untuk berbicara dari hati ke hati berkenaan kehidupan.

“Saya kadang-kadang boleh dianggap ‘pakar terapi’ di rumah. Dengan kawan-kawan pun saya akan cakap kalau ada masalah boleh jumpa saya sebab saya ini seorang yang ada empati.

“Kadang-kadang ibu pun ada datang berjumpa dan meluah masalahnya kepada saya.

“Saya bukan memberi nasihat, tapi hanya mendengar kerana mungkin mereka mahu untuk meluah sahaja. Saya memang rapat dengan ibu dan selalu dengar apa masalahnya,” katanya.

Dalam pada itu, penyanyi ini berkata, dia tidak membaca komen negatif diberikan kepada ibunya di ruangan maya.

“Saya sebenarnya tak baca komen dan tak terlibat. Saya fikir mereka adalah orang dewasa, boleh uruskan masalah sendiri.

“Sebagai anak, saya hanya menyokong apa yang mereka buat, tapi tidak terlibat dengan isu-isu itu.

“Saya percaya apa yang ibu buat kerana mesti ada sebab tersendiri, saya hanya beri sokongan dari jauh,” katanya.

Sebelum ini, Nora yang popular dengan lagu Di Persimpangan Dilema mengejutkan peminat apabila memfailkan permohonan perceraian terhadap Dr Rushdi selepas didakwa didesak pihak ketiga.

Pasangan itu bergelar suami isteri pada 2021, malah Rushdi adalah sahabat baik bekas suami Nora iaitu Allahyarham Johan Nawawi yang meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung pada usia 52 tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN