KUALA LUMPUR : Pelakon filem antarabangsa, Florence Pugh, 30, mengakui melakukan terjunan di Menara Merdeka 118 di ibu negara merupakan satu pengalaman mengujakan buat dirinya.
Menurut Florence, pengalaman itu cukup mendebarkan namun demi menjayakan babak dalam filem Marvel Thunderbolts, perasaan itu sedaya upaya cuba dilawan bagi memberikan satu ‘persembahan’ meyakinkan buat penonton.
“Sepanjang melakukan penggambaran itu, saya sangat bersemangat. Dalam fikiran saya, saya sudah bersedia (untuk melakukan terjunan)z Saya fikir, ya, kita akan naik dan terjun dari situ’.
“Namun apabila saya betul-betul diberi lampu hijau, saya mula rasa berdebar sebab kena betul-betul terjun dari bangunan ini,” katanya.
Florence berkata demikian dalam satu temu bual di Tik Tok GSC, baru-baru ini.
Selain itu, pelakon kelahiran Oxford, United Kingdom (UK) ini berkata, dia juga seakan mempunyai ‘hubungan peribadi’ dengan menara ikonik Malaysia itu.
“Selama beberapa hari menjalani penggambaran di situ, saya dapat rasakan seakan ada hubungan yang mendalam dengan bangunan itu.
“Saya berbicara dengan diri sendiri, cuba berdamai secara dalaman dengan apa yang bakal saya lakukan.
“Ia bukan sekadar aksi, tetapi bagi saya ia satu pengalaman yang sangat emosional,” katanya.
Florence turut menyifatkan detik terjunan itu sebagai ‘pengalaman yang gila’. namun, sangat bermakna buat dirinya sebagai pelakon.
“Saya sukakannya. Ia antara pengalaman paling luar biasa sepanjang karier saya dan berada di Malaysia, saya benar-benar jatuh cinta dengan tempat ini.
“Saya harap dapat kembali ke sini dan luangkan lebih banyak masa,” katanya.
Dalam pada itu, berkongsi lanjut, Florence turut memuji keunikan makanan di Malaysia yang sempat dicubanya sepanjang berada di negara ini.
“Masakan Malaysia memang luar biasa. Saya nak cuba belajar beberapa resipi terbaik dan pasti akan bawa satu hidangan Malaysia dalam Cooking With Flo (rancangan memasaknya) nanti,” katanya.
Filem Thunderbolts telah diarahkan oleh Jake Schreier dan ditulis oleh Eric Pearson, Lee Sung Jin, dan Joanna Calo.
Filem ini dibintangi barisan pelakon yang menampilkan Sebastian Stan, Hannah John-Kamen, Wyatt Russell, Julia Louis-Dreyfus, Florence Pugh, David Harbour, Olga Kurylenko, Harrison Ford, dan Lewis Pullman.
Pembabitan Florence sebagai Yelena Belova, bekas Black Widow, menjadi antara daya tarikan utama filem ini, yang turut menggunakan latar Kuala Lumpur sebagai lokasi aksi utama.