Macam IP Man? Kita pun ada tokoh pahlawan sendiri - Beto Kusyairy - Utusan Malaysia

Macam IP Man? Kita pun ada tokoh pahlawan sendiri – Beto Kusyairy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon, Beto Kusyairy, 45, menafikan bahawa filem terbaharu yang dibintanginya, Gayong, telah digarap dengan ‘meniru’ konsep penceritaan filem terkemuka dari China iaitu IP Man.

Menurut Beto atau nama sebenarnya, NurKusyairy Zakuan Osman, filem Gayong mempunyai identiti tersendiri apatah lagi ia mengangkat ketokohan anak jati tempatan menerusi kisah hidup pengasas seni bela diri, Silat Gayong, Allahyarham Datuk Meor Rahman.

“Saya tidak fikir filem Gayong ini meniru filem luar. Misal kata Gayong keluar dulu, Ip Man keluar kemudian, orang akan cakap filem itu macam Gayong. Sebenarnya setiap negara yang dijajah ini akan ada tokoh pahlawannya.

“Cuma apabila filem Ip Man keluar dulu dan ia bertaraf antarabangsa, orang samakan.Walhal, setiap negara ada tokoh tidak kira sama ada Thailand, Indonesia atau mana-mana sekalipun.

“Tapi, orang sudah melekat dengan imej Ip Man itu, bila tonton Gayong, orang akan cakap macam filem itu. Habis, semasa dijajah kita tak ada tokohkah? katanya.

Beto berkata demikian ketika ditemui pada malam gala dan tayangan perdana filem Gayong di GSC Midvalley Megamall di sini, baru-baru ini.

Bagaimanapun, mengulas lanjut, Beto tidak mudah melatah dengan pandangan segelintir pihak itu kerana menganggap ia wujud daripada perspektif masing-masing.

Malah, katanya, ia menyuntik nilai positif kerana ia membuatkan penonton dan peminat filem tempatan lebih teruja untuk ke panggung dan menonton filem tersebut.

“Saya tak ambil perkara itu sebagai satu perkara negatif. Bahkan, saya lihat dari sudut positif. Apabila orang cakap Gayong macam Ip Man, orang akan datang tengok, mudah-mudahan,” katanya.

Dalam pada itu, berkongsi mengenai filem Gayong, Beto yang memegang watak utama sebagai Datuk Meor memaklumlan ia telah digarap berdasarkan kisah sebenar tokoh hebat seni silat gayong tersebut.

“Semasa zaman Ip Man juga ada kisah berkenaan penjajahan Jepun dan sebagainya. Dalam Gayong ini juga begitu, memang betul kisah penjajahan Jepun.

“Allahyarham Meor datang menyelamatkan orang di Pasir Ria. Garis masa itu memang kita ikut tepat, cuma kita jadikan lebih dramatik untuk tujuan sinema.

“Bagaimanapun, jauh sekali untuk merendahkan Allahyarham atau warisnya, malah kami 100 peratus mahu angkat nama beliau,” katanya.

Filem Gayong iaitu naskhah biopik berkisar perjalanan awal pengasas seni bela diri Silat Gayong, Allahyarham Meor akan ditayangkan pada 8 Mei ini.

Filem arahan Faisal Ishak itu menampilkan pelakon handalan lain seperti Nabila Huda, Syafie Naswip, pelakon aksi popular dari Indonesia, Yayan Ruhian dan aktor Thailand, Chevanon Phukaokaew.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN