KUALA LUMPUR: Konsert Desaku Mendunia bakal menggegarkan Auditorium Seri Angkasa selama dua hari dengan menggabungkan irama serta orkestra bagi meraikan pencapaian kumpulan Malaysian Wind Orchestra (MAWO).
Konsert anjuran Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta Kementerian Komunikasi itu akan berlangsung pada 27 dan 28 Mei ini.
Pengarah Bahagian Perkhidmatan Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail berkata, penyertaan MAWO membuktikan anak luar bandar mampu bersaing di pentas antarabangsa jika diberi peluang dan sokongan.
“Pertama kali saya bekerjasama dengan mereka, saya cukup tersentuh. Kerana anak-anak peneroka ini, anak-anak peneroka yang latar belakangkan ibu bapa ataupun atuk nenek mereka daripada Felda.
“Mereka bukan pelajar muzik sepenuh masa, tetapi mampu mempelajari dan memainkan alat muzik dengan baik dalam masa singkat,” katanya ketika Sidang Media Konsert Desaku Mendunia, di Hotel Seri Pacific, semalam.
Mokhzani berkata, semangat dan kesungguhan pelajar MAWO cukup luar biasa walaupun kebanyakannya baru mengenali asas muzik beberapa bulan lalu.
“Saya pernah bekerja dengan ramai pelajar, termasuk dari sekolah elit dan pemuzik profesional, jadi agak berbeza dengan yang mereka yang sudah pandai bermain muzik.
“Lain pula dengan MAWO, tapi bagi saya, mereka datang daripada ‘zero to hero’. Itulah yang sangat mengagumkan saya.
“Pada tahun lepas, saya bersama-sama dengan mereka untuk satu persembahan. Tapi pada masa itu, ahli muzik mereka ataupun pelajar berbeza.
“Kali ini, semuanya 60 atau 70 peratus anak-anak yang baru belajar tak sampai beberapa bulan,” katanya.
Menurutnya,anak-anak ini melihat muzik bukan sekadar hiburan, sebaliknya satu bentuk disiplin yang membina sahsiah dan keyakinan diri.
“Mereka bukan sekadar melihat muzik ini pada hiburan semata-mata, tetapi menjadikan ianya salah satu bentuk disiplin dalam kehidupan,” katanya.
Justeru itu, Mokhzani menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk memberi sokongan dan menyaksikan persembahan konsert itu yang turut disiarkan RTM.
“RTM menganggap ini sebagai tanggungjawab sosial untuk membantu memberi inspirasi.
“Ini kerana kita melihat pelajar-pelajar dan anak-anak peneroka ini sesuatu yang luar biasa dan cukup membanggakan. Jadi, semua rakyat Malaysia harus menonton nanti apabila ia disiarkan nanti,” katanya.
Dalam pada itu, MAWO yang mempunyai 53 pelajar MRSM FELDA dan 39 warga peneroka bakal bertanding dalam International Festival of Wind Orchestra di Prague, Republik Czech pada 20 dan 21 Jun ini.
Konsert itu jugak bakal dimeriahkan dengan kehadiran Dayang Nurfaizah, Datuk Jamal Abdillah, Yabang Khalifah, Datuk Suhaimi Sulaiman, Zam dan Along dari program Feel Da Starz serta kumpulan Zeppo Youngster.