KUALA LUMPUR: Selepas sekian lama menyepi daripada industri muzik tempatan, penyanyi Fareez Fauzi kini kembali dengan semangat baharu dan tekad untuk mengukuhkan semula namanya sebagai anak seni.
Menurut Fareez, peluang untuk kembali aktif datang ketika sebuah produksi sedang mencari peserta untuk program realiti Raise The Star.
Malah, kongsi Fareez, sokongan penuh daripada keluarga, terutamanya isteri merupakan antara motivasi buatnya untuk meneruskan hasrat ini.
“Saya tahu sebenarnya agak lama tak muncul dalam industri muzik. Jadi ini adalah satu cara untuk saya muncul kembali sebagai Fareez Fauzi yang baharu.
“Bila peluang itu datang, saya terus ambil. Keluarga pun banyak bagi sokongan termasuk isteri. Walaupun dia baru bersalin baru-baru ini, dia tetap beri semangat.
“Dia yakin menerusi cara ini, ia satu langkah kemunculan saya semula,” katanya.
Fareez juga menegaskan bahawa keinginannya untuk terus berada dalam bidang seni tetap utuh meskipun pernah melalui fasa senyap.
“Saya masih nak ada dalam bidang nyanyian, sebab itu saya datang ke uji bakat ini. Saya pun tak kisah mana-mana rezeki yang Allah nak bagi, saya terima.
“Kalau saya dapat buat dua-dua sekali nyanyian dan lakonan, pun okey,” katanya.
Dalam perkembangan lagi, kata anak kepada pasangan pelakon Fauzi Nawawi dan Lisdawati ini berkata, dia juga baharu selesai menjalani sebuah pementasan teater baru-baru ini.
“Selesai teater, sekarang saya sedang tunggu perkembangan sebuah filem.
“Doakan saya. Kalau semuanya berjalan lancar, bulan Julai nanti saya akan mula masuk set penggambaran,” katanya.