KUALA LUMPUR : Penerbit dan pengarah syarikat perfileman gergasi tanah air, Skop Productions Sdn Bhd, Datuk Yusof Haslam, mengakui berbangga dengan pencapaian kedua-dua anaknya, iaitu Syamsul dan Syafiq dalam industri perfileman tanah air.
Malah, menurut Yusof, dia juga tidak menyangka lima filem tempatan yang berada di carta teratas sehingga kini merupakan hasil kerja seni dua anaknya itu.
“Sebenarnya saya pun tak merancang keadaan itu berlaku. Saya tak jangka pun ia akan jadi ‘viral’ di platform X apabila ada orang buat senarai filem tempatan dan anak-anak saya mendominasi carta itu.
“Sekarang Blood Brothers sedang mendapat tempat di hati penonton dan ia merupakan hasil kerja Syafiq. Filem abang dia, Syamsul pun akan keluar nanti.
“Kami tak pernah bermimpi untuk jadi begini. Ia datang dengan tiba-tiba. Namun sudah tentulah saya berbangga dan bersyukur dengan kejayaan anak-anak saya,”katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Selain itu, jelas Yusof, dia sedar pada waktu ini anak-anak merupakan harapannya dalam meneruskan legasi perfileman kerana dia juga telah selesai melalui fasa itu.
“Saya sudah melalui zaman saya. Sekarang, zaman anak-anak saya pula buat filem. Tapi saya masih lagi nak buat drama.
“Syamsul pun sekarang sedang berjuang untuk filem Original Gangster. Bagi saya, baik Syamsul atau Syafiq, ini satu persaingan yang sihat.
“Ini juga bagus untuk kemajuan industri perfileman tanah air. Bukan saja mereka. Tetapi saya juga mengharapkan pengarah-pengarah muda lain turut meraih kejayaan dan sama-sama menaikkan industri perfileman tempatan ke arah mutu lebih tinggi,”katanya.
Dalam pada itu, Yusof juga mengakui tidak menyangka filem Blood Brothers: Bara Naga berjaya mengutip RM62 juta selepas 20 hari memasuki pawagam dan tayangan awal.
Katanya, kejayaan Blood Brothers adalah disebabkan komitmen para pelakon dan seluruh pasukan produksi yang tidak berhenti membuat promosi.
Sementara itu, Yusof juga mengumumkan filem Blood Brothers akan ditayangkan di Thailand, Kemboja dan Vietnam dalam tempoh terdekat.
“Thailand sudah sah dan ikut perancangan sebulan dari sekarang, mungkin sekitar Jun depan.
“Kita akan buat pelaburan dan lakukan alih bahasa mengikut negara,” ujarnya.
Kejayaan hebat filem terbitan Skop Productions dan Primework Studios yang membariskan Syafiq Kyle, Sharnaaz Ahmad, Shukri Yahaya, Syazwan Zulkifly, Zamarul Hisham, Wan Hanafi Su dan Amelia Henderson kini meletakkanya dalam senarai Top 5 filem tempatan terlaris sepanjang zaman.
Blood Brothers kini berada di kedudukan ketiga dalam senarai lima filem tempatan dengan kutipan tertinggi selepas Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan (RM97.4 juta), Sheriff: Narko Integriti(RM63.2 juta), Polis Evo 3 (RM54.1 juta) dan Munafik 2 (RM48 juta).