KUALA LUMPUR : Pelakon, Aeril Zafril,38, mengakui, tidak akan melakukan sebarang trend negatif semata-mata kerana mahu memastikan namanya kekal relevan dalam industri seni.
Menurut Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Sunari, satu daripada sebab mengapa dia mengelak perkara itu kerana enggan anak-anaknya terkena tempias kritikan warganet.
“Saya cuba untuk tidak lakukan perkara yang negatif walaupun saya tahu ia boleh menaikkan jumlah tontonan di media sosial.
“Tapi saya risau jika saya lakukan ia akan terpalit pula pada anak-anak,” katanya.
Aeril berkongsi perkara itu ketika ditemui selepas tayangan filem Laknat yang diadakan di GSC Midvalley, di sini, semalam.
Selain itu, kata suami kepada Wawa Zainal ini lagi, dia juga sudah semakin kurang melakukan kandungan video di media sosial seperti sebelum ini berikutan sedar usianya juga telah meningkat.
Bagaimanapun, Aeril sempat menitipkan pesanan agar pempengaruh di TikTok tidak melakukan sebarang pengisian kandungan yang sensitif atau negatif semata-mata mahu meraih populariti dalam masa singkat.
“Dulu memang aktif TikTok sekarang dah kurang mungkin sebab tak larat macam dahulu.
“Cuma nak pesan yang saya tahu mereka (pempengaruh) sengaja reka cerita untuk naikkan jumlah tontonan dan ia sudah menjadi satu trend.
“Bila nama dah mula merundum mereka perlukan satu isu untuk naikkan balik nama dan dari situ mereka boleh jana pendapatan kembali, tapi boleh janganlah buat perkara begitu,” katanya.
Untuk rekod, Aeril berkahwin dengan pelakon Wawa Zainal pada 2013.
Pasangan ini dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu, Ahmad Fakhruddin Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 9, Attar,11, Ayya Sofia, 5 dan Muhammad Fahri, 4 tahun.
Dalam perkembangan lain, Aeril bakal tampil dengan filem terbaharu lakonannya berjudul Laknat.
Selain Aeril filem tersebut turut dibintangi pelakon lain seperti Puteri Balqis, Jalil Hamid, Amerul Affendi, Naque Ariffin, Noorkhiriah dan Mila Mohsin.
Laknat akan mula ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia bermula 5 Jun depan.