KUALA LUMPUR : Gara-gara mengalami kecederaan di lutut kanan, pelakon, Hun Haqeem, terpaksa menerima rawatan di sebuah hospital swasta hari ini.
Kecederaan itu dialami pelakon drama From
Saga With Love 2 itu ketika bertarung dengan aktor, Ikmal Amry, semasa menyertai Kejohanan Sukan Tempur di gelanggang Fury Championship yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur semalam.
Ketika dihubungi Utusan Malaysia, Pengurus Hun, Afdal Shahizad Zainudin, mengesahkan perkara tersebut namun tidak dapat memberikan jawapan tepat sama ada kecederaan yang dialami aktor itu serius atau tidak.
“Setakat ini keadaannya stabil namun memang dia mengalami kecederaan dilutut kanan selepas pertarungan semalam.
“Hun akan berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan susulan hari ini. Melihat keadaan dia tadi, tidak terlalu serius,namun Hun akan melakukan pemeriksaan lanjut untuk pengesahan kondisi lututnya daripada doktor,”katanya.
Dalam pada itu, Afdal memohon semua pihak mendoakan kesihatan Hun supaya segera pulih.
“Doakan Hun tidak mengalami kecederaan serius, dan kembali kuat. Terima kasih diatas sokongan,”katanya.
Terdahulu, Hun tewas di tangan Ikmal dalam pertarungan yang berlangsung selama tiga minit di gelanggang Fury Championship.
Perlawanan berlangsung pada pukul 12.01 tengah malam semalam dengan disaksikan seramai 1,700 penonton di dalam dewan selain turut disiarkan secara live di media sosial.
Fury Championship merupakan kejohanan sulan tempur pertama dianjurkan di Malaysia.
Kejohanan ini menampilkan barisan pejuang profesional, pencabar amatur, pempengaruh, serta selebriti, menjanjikan pengalaman penuh adrenalin bagi peminat sukan tempur.
Diasaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Wafiy dan Ketua Pegawai Pemasaran (CMO) Jaasuzuran, Fury Championship lahir daripada minat mendalam mereka terhadap sukan tempur serta visi untuk membawa industri sukan ini ke tahap lebih tinggi.
Mengambil inspirasi daripada gergasi global seperti ONE Championship, Jaa dan Wafiy berhasrat menjadikan Fury Championship sebagai platform utama sukan tempur di Malaysia.
Dalam pada itu, pada Oktober 2023, Hun pernah menjalani rawatan di hospital akibat kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) yang dialaminya ketika menjalani penggambaran drama W: Two Worlds.
Kecederaan itu menyebabkan Hun terpaksa ‘berehat’ panjang daripada sebarang aktiviti seni lakon sebelum kemudiannya mengesahkan keadaan kesihatannya telah pulih sekitar awal tahun lepas.