Dilanda ribut pasir, hampir terkena strok haba, Amar Baharin umum kayuhan ke Tanah Haram tamat - Utusan Malaysia

Dilanda ribut pasir, hampir terkena strok haba, Amar Baharin umum kayuhan ke Tanah Haram tamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Setelah melalui perjalanan yang panjang, pelakon, Amar Baharin, meluahkan rasa syukur apabila kembara kayuhan berbasikalnya ke Madinah dalam misi Journey To Tanah Haram telah tamat.

Berita gembira itu dikongsikan Amar menerusi hantaran di Instagram (IG).

Menerusinya, Amar dan rakan yang juga penjelajah Grand Slam, Datuk Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin memaklumkan bahawa mereka telah selamat tiba di Madinah.

Amar dan Qobin memulakan kayuhan dari wilayah Al Henakiyah dan berakhir di Al Masjid An Nabawi, Madinah dengan jarak 114.3 kilometer.

“Alhamdulillah, tamat perjalanan kami ke Tanah Haram,”tulisnya di Instagram.

Sementara itu, menerusi satu temu bual di Hot FM, Amar turut berkongsi pengalamannya bersama pendengar.

“Apabila masuk ke tanah Arab, masuk ke Iran, UAE dan Saudi, cuaca banyak berbeza, terutamanya suhu dan angin yang sangat kuat.

“Jadi kita kena ubah cara kayuhan dan waktu kayuhan. Jadi kami mula seawal selepas subuh dan dalam pukul 9.30 pagi kena habiskan kayuhan sebab terlalu panas, pernah mencecah sampai 51 darjah selsius.

“Saya dan Qobin pun ada alami kekejangan dan peng kepala,”katanya.

Keadaan itu turut diakui Qobin yang mana menurutnya, dia dan Amar juga hampir terkena strok haba semasa membuat kayuhan tersebut.

“Semasa kami menghala ke Algat, kami hampir terkena strok haba. Kami juga hampir dilanda ribut pasir semasa menghala ke Mirfa daripada Abu Dhabi,”katanya.

Dalam pada itu, tambah Amar, disebabkan mereka sampai lebih awal berbanding apa yang telah dirancang, mereka tidak dapat melakukan ibadah umrah di Mekah.

“Kami juga tidak dapat visa untuk menunaikan haji. Jadi kami tamatkan perjalanan kami di Madinah, dan kami akan habiskan apa yang kami boleh buat di Tanah Haram Madinah ini.

Sebelum ini, Amar dan Qobin terpaksa mengayuh basikal selama empat hingga ke lima jam di tengah panas terik padang pasir.

Amar memulakan kayuhan pada 27 April lepas dengan merentasi beberapa negara antaranya melalui Thailand, Iran, UAE dan Arab Saudi dengan berbasikal serta menggunakan pengangkutan darat dan udara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN