TUMPAT: Bahang Pilihan Raya Thailand semakin dirasakan apabila penduduk negara itu yang mencari rezeki di Malaysia pulang lebih awal ke kampung halaman masing-masing bagi menunaikan tanggungjawab mengundi pada 8 Februari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, aliran keluar masuk rakyat Thailand melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor di sini, mengalami peningkatan ketara apabila kebanyakan mereka mengambil keputusan pulang lebih awal bagi mengelakkan kesesakan luar biasa, khususnya menjelang hujung minggu.
Seorang warganegara Thailand, Masitah Roni, 48, berkata, dia memilih pulang awal dengan mengambil kesempatan penutupan kedai makan tempatnya bekerja di Kota Bharu sempena cuti hujung minggu.
“Saya berniaga di Kota Bharu bersama suami yang merupakan warganegara Malaysia. Kedai makan tidak beroperasi, jadi saya mengambil kesempatan pulang awal ke Thailand bagi menunaikan tanggungjawab mengundi,” katanya ketika ditemui semalam.
Seorang lagi warganegara Thailand, Dollah Seman, 24, berkata,dia memilih pulang lebih awal bagi mengelakkan kesesakan panjang ketika melalui proses pemeriksaan imigresen.
“Keadaan sudah mula sesak dan jika pulang pada Sabtu, barisan untuk urusan cop pasport dijangka lebih panjang. Oleh itu, saya membuat keputusan untuk pulang lebih awal,” ujarnya.
Sementara itu, Salma Berahim, 25, berkata, dia tidak mahu terlepas peluang menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Thailand walaupun berada jauh di perantauan.
Katanya, meskipun merantau mencari rezeki di Malaysia tanggungjawab sebagai rakyat Thailand tetap perlu ditunaikan.
“Lagipun ayah telah beberapa kali menghubungi saya supaya pulang untuk mengundi,” katanya.
Akhbar ini sebelum ini melaporkan, puluhan ribu penduduk Selatan Thai yang mencari rezeki di Malaysia dan layak mengundi diseru pulang menunaikan tanggungjawab itu pada Pilihan Raya Parlimen 2026, Ahad ini. – UTUSAN










