KUALA LUMPUR : Pelakon, Fadlan Hazim, 33, mengakui dia tidak begitu meminati naskhah genre seram untuk tontonan santai memandangkan dirinya merupakan seorang yang penakut.
Bagaimanapun, demi memenuhi hasrat isteri, Aiya Mukhamedsalova,31, dia mencabar dirinya sendiri untuk menerima naskhah filem Nar’Sata arahan Pierre Andre yang bakal menjalani set penggambarannya tidak lama lagi.
Menurut Fadlan, isterinya itu merupana penggemar filem genre seram selain menyifatkan wanita itu lebih berani berbanding dirinya.
“Terus-terang, saya setuju untuk terima tawaran berlakon filem ini kerana isteri saya suka genre seram. Saya tak suka.
“Dia tak pernah tengok saya berlakon dalam naskhah seperti ini dan pernah nyatakan hasrat nak tengok saya berlakon dalam genre ini.
“Jadi saya terima tawaran ini kiranya untuk dia jugalah. Kalau ikutkan, memang isteri saya lebih berani tonton filem atau drama seram berbanding saya,” katanya.
Fadlan berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia di Ibu Pejabat Metrowealth, baru-baru ini.
Selain itu, kongsi Fadlan,dia juga perlu menyediakan mental dan fizikalnya dengan komited untuk menjayakan filem ini kelak meskipun tahu perlu ‘bermain’ dengan banyak elemen darah.
“Semasa sesi baca skrip dan pihak produksi pun beritahu nanti kami para pelakon akan bermain dengan banyak elemen darah, itu pun dah buat saya rasa semacam. Sebab saya sebenarnya tak suka tengok darah.
“Secara peribadi, saya sebagai penonton kalau tengok babak ‘gore’, saya tak boleh, tak tahu kenapa rasa ngilu. Tengok cerita hantu dan tiba-tiba ada ‘jumpscare’, saya tak boleh.
“Saya mengaku siap-siap, kalau pergi rumah hantu di Sunway Lagoon pun, isteri saya yang berani jalan di depan, saya di belakang,”katanya.
Jelas Fadlan, isterinya juga sangat teruja apabila mengetahui Fadlan membintangi filem Nar’Sata selain berharap dapat mengikutinya ke set penggambaran kelak meskipun sekadar untuk melihat.
“Dia punya suka dan teruja saya berlakon dalam filem ini, sehinggakan dia minta nak ikut saya pergi ke set nanti sebab mahu tengok bagaimana ia dilakukan.
“Selama ini dia tak pernah tanya pun dan tak pernah tawarkan diri nak ikut pun. Dia nak minta saya tolong bawa dia sehari di set, tengoklah nanti macam mana,”katanya.
Dalam pada itu, Fadlan berkongsi dia turut pernah mengalami momen dirasuk ketika menjalani penggambaran filem pertama, Sniper arahan Pierre Andre pada 2013.
Katanya, kejadian mistik itu berlaku mungkin berpunca daripada kelantangannya bercakap perkara tidak sepatutnya dalam hutan.
Filem Sniper itu genre aksi, bukan seram. Mungkin lokasi penggambaran di Mimaland iaitu taman rekreasi terbengkalai di Gombak, Selangor.
“Ketika itu, saya dan pelakon lain masih muda dan usia dalam 20-an. Agaknya mulut memang celupar ketika itu. Bila dirasuk, pada awal saya rasa sedang mengalami demam panas dan mata pedih. Kemudian saya mula hilang kawalan.
“Saya cuma ingat saya jadi marah, asyik nak mengamuk sahaja dan ‘koyak’ muka orang. Selepas itu, bila Pierre datang dan tanya kenapa, saya pun rasa perkara sama tak kira siapa sahaja di depan saya.
“Alhamdulillah, masa itu produksi MIG memang ‘standby’ dua ustaz di lokasi. Saya berterima kasih kepada Pengarah Urusan MIG, David Teo kerana memang peka dengan perkara ini,” katanya.
Naskhah Nar’Sata bakal menyaksikan Fadlan berlakon di samping barisan artis hebat lain seperti Mawar Rashid, Trisha Ooi, Dai Fuad, Imranul Effendy, Aniq Suhair, Khatijah Tan, Namron, Wan Hanafi Su, Ashraf Muslim dan Vanidah Imran.
Penggambaran akan bermula pada 20 Mei dan dijangka tamat pada 17 Jun 2025, dengan lokasi penggambaran difokuskan sepenuhnya di sekitar Lembah Klang.