KUALA LUMPUR: Sempat tertawa, pelakon, Kamal Adli, 39, menafikan kesilapan informasi dalam paparan laman Wikipedia yang melabel pekerjaannya sebagai seorang petani.
Menurut Kamal, perkara itu berada di luar jangkaannya kerana dia tidak tahu bagaimana ia boleh berlaku.
Bagaimanapun, Kamal mengakui pastinya hal itu terjadi kerana ada pihak merujuk wataknya sebagai Budin dalam drama Dia Imamku.
“Ada yang muat naik tangkap layar wikipedia itu di media sosial, tapi saya bukan petani dalam kehidupan realiti. Itu semua penangan budin, percayalah cakap saya.
“Sebelum ini mereka tulis, pekebun, pemandu, suami Humaira sekarang dah tukar balik pelakon pengacara, pelakon.
Bagaimanapun, Kamal berkata, dia tidak mengambil hati atas gurauan netizen itu sebaliknya teruja penonton dan peminat menghargai hasil kerjayanya.
“Bagi saya, selagi tidak keterlaluan saya gembira dengan apa yang peminat lakukan nampaklah mereka teruja dengan drama Dia Imamku.
“Saya tengah nikmati momen ini untuk enam bulan punya kerja, jadi saya rasa berbaloi sebab penat lelah ini berbaloi bila ada yang menghargai,”katanya.
Sebelum ini, Kamal yang memegang watak Budin menerusi drama arahan Siti Rosmizah itu menjadi perhatian ramai kerana memaparkan sifat seorang yang suami yang sempurna.
Menerusi drama itu, Kamal digandingkan dengan aktres jelita, Siti Saleha yang memainkan watak Humairah.
Turut berlakon dalam drama itu ialah, Zara Zya, Haneesya Hanee, Khatijah Tan, Fazlina Ahmad Daud dan Amy Nur Tinie.