Lagu nostalgia pilihan M Nasir di Konsert Cipta Raya - Utusan Malaysia

Lagu nostalgia pilihan M Nasir di Konsert Cipta Raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM : Penyanyi terkemuka tanah air, Datuk M Nasir bakal menyanyikan tiga buah lagu raya klasik yang bakal mengimbau nostalgia era 50-an dan 60-an sempena penganjuran Konsert Datuk M N46IR Cipta Raya di Zepp Kuala Lumpur, esok.

Menurut M Nasir, lagu itu ialah Suara Takbir nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Selamat Hari Raya(Allahyarham Puan Sri Saloma) dan lagu milik penyanyi Indonesia, Allahyarham Oslan Husein berjudul Selamat Hari Lebaran.

Baginya, pemilihan tiga lagu itu sebagai antara lagu utama di konsert berkenaan adalah kerana bagi menghargai karya bertaraf lagenda yang sehingga kini menjadi kegemaran pendengar.

“Selain menyatakan (homage) penghargaan, lagu ini juga dinyanyikan kerana saya meminatinya sejak zaman kecil lagi.

“Menjadi antara 10 lagu hari raya terbaik pada zaman itu. Paling popular sudah tentu lagu Selamat Hari Raya berentak cha cha,” katanya ditemui pada sesi latihan konsert yang diadakan sebuah studio di Bukit Rahman Putra, di sini,kelmarin.

Ditanya tentang sama ada pernah terfikir untuk merakamkan semula lagu-lagu raya popular zaman dahulu, M Nasir berkata semua itu bukan satu perkara yang mudah.

“Rakaman ini satu industri yang lain sikit. Ada kena-mengena dengan pemasaran apa semua. Memang boleh buat dan ada idea begitu dalam kepala.

“Malah, saya nak rakamkan secara live. Tapi live dalam studio. Tempoh hari, ada terfikir nak rakam waktu praktis tapi masa tak cukup.

“Mungkin kita boleh cuba suatu hari nanti (rakamkan lagu-lagu raya popular versi saya).” katanya.

Selain itu, bagi melengkapkan set, M Nasir juga akan menyanyikan lagu non-raya pada ciptaannya hujung minggu nanti kerana baginya, tidak salah berbuat demikian.

Konsert Datuk M N46IR Cipta Raya akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada Ahad ini.

Sementara itu, pengasas Icon Entertainment dan penganjur konsert, Iman Tang memaklumkan mereka masih mengekalkan pemberian duit raya seperti yang dilakukan ketika Konsert M N45IR Cipta 2, Oktober lalu.

“Cuma, bezanya jumlahnya tidaklah banyak seperti tahun konsert lalu iaitu RM10,000 kerana kapasiti Zepp tidak sebesar Axiata Arena.

“Namun, akan ada kejutan dari segi jumlah duit raya yang bakal diterima penonton bertuah,” kongsi Iman.

Pada konsert itu, penonton digalakkan memakai busana bertemakan ‘Glam Raya’ bagi memeriahkan suasana konsert yang masih berada dalam bulan Syawal.

Lebih menarik lagi, setiap pembelian tiket bukan saja memberi akses kepada penonton menyaksikan persembahan M. Nasir tetapi peminat juga dapat menikmati juadah raya sebelum konsert bermula.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN