LOS ANGELES: Pelakon popular, Sandra Bullock, sedia untuk kembali menjalin hubungan cinta selepas kematian kekasih, Bryan Randall tahun lalu.
Keadaan pelakon Bird Box itu dilaporkan semakin baik selepas kehilangan kekasih akibat Sklerosis lateral amiotrofik (ALS), iaitu sejenis penyakit berbahaya yang menyerang motor neuron.
“Bullock boleh dikatakan sedang perlahan-lahan pulih. Dia berjanji untuk sentiasa mengenang semua memori bersama Bryan.
“Selain itu, dia juga sangat fokus menjaga dua orang anaknya,” kata sumber terdekat pelakon itu kepada media.
Menurut sumber itu lagi, bukan mudah untuk Bullock menerima pemergian Bryan, apalagi penyakitnya itu hanya diketahui pelakon itu selepas beberapa tahun.
Susulan itu, Bullock bercuti daripada semua kerja di Hollywood selama setahun demi menjaga Bryan di akhir hayatnya.
“Bryan meminta agar penyakitnya dirahsiakan. Hanya keluarga yang tahu dan menjaganya.
“Setahun terakhir sebelum Bryan meninggal dunia, barulah Bullock tahu dan ambil keputusan untuk bercuti selama setahun.
“Tiada yang tahu sebenarnya Bullock bercuti untuk menjaga Bryan,” kata sumber itu lagi.
Bagaimanapun, Bryan yang juga seorang jurufoto meninggal dunia pada Ogos tahun lalu selepas tiga tahun berjuang.
Untuk rekod, Bullock dan Bryan mula bertemu pada Januari 2015 di sebuah majlis sambutan hari lahir anak angkat Bullock.
Mereka kemudian sah bercinta pada Oktober tahun yang sama dan dilihat tampil berdua pertama kali sewaktu tayangan perdana filem Bullock, Our Brand Is Crisis. – UTUSAN











