Lunaskan bayaran atau saya buat laporan polis - Man Raja Lawak - Utusan Malaysia

Lunaskan bayaran atau saya buat laporan polis – Man Raja Lawak

MAN RAJA LAWAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak, Man Raja Lawak, 47, memberi peluang terakhir kepada sebuah stesen televisyen untuk melunaskan bayaran yang tertunggak sejak setahun lalu.

Tegasnya, jika pihak stesen tersebut masih berdiam diri, Man serta 15 orang penggiat seni yang mengalami nasib serupa akan bertindak membuat laporan polis.

“Saya masih lagi memberi ruang terakhir kepada pihak stesen TV.

“Selepas pendedahan yang saya buat di Instagram, rupanya ramai yang menghubungi saya mengatakan mereka juga belum menerima bayaran daripada stesen TV tersebut.

“Sekarang kami dalam proses mengumpul bahan bukti. Jika pihak TV masih senyap, kami akan buat laporan polis beramai-ramai,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Bukan itu sahaja, Man menjelaskan, kali terakhir dia berhubung dengan pihak berkenaan Julai lalu yang berjanji akan melunaskan bayaran pada hujung bulan.

“Sudah masuk Ogos, tapi sampai sekarang senyap. Katanya nak hubungi pihak akauntan. Kemudian cakap hendak hubungi bahagian kewangan pula.

“Rupanya bukan saya seorang yang kena, ramai tidak dapat lagi bayaran. Dewan yang diguna untuk program pun belum dibayar. Apalagi artis, pengarah dan kru terlibat,” jelasnya.
Sebelum ini, Man atau Abdul Rahman Kassim dipanggil untuk menjadi juri sebuah program stesen TV tersebut di dua lokasi iaitu Kuala Lumpur dan Kuantan.

“Di Kuala Lumpur modalnya tak besar, tapi penatnya lain macam. Bayangkan kerja dua hari dari pagi membawa ke malam. Begitu juga di Kuantan kerja dua hari dari pagi sampai malam.

“Mereka pun tak bagi duit petrol dan lain-lain kerana itu dah termasuk dalam bayaran saya. Saya dibayar RM1,000 sehari dan empat hari untuk dua lokasi jumlahnya RM4,000,” ujarnya.

Terdahulu, Man mencuri perhatian apabila memuat naik hantaran di media sosial mendedahkan sebuah stesen televisyen culas melunaskan bayarannya berjumlah RM4,000 walaupun kerja sudah dilunaskan setahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN