Saya sudah lalui zaman dahagakan perhatian - Sharifah Sakinah

Saya sudah lalui zaman dahagakan perhatian – Sharifah Sakinah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERTEMU mata dengan pelakon ini setelah agak lama tidak bersua, menyaksikan satu sisi berbeza pada dirinya.

Jika sebelum ini Sharifah Sakinah penuh dengan emosi dan sifat gila-gilanya, kini wanita ini kelihatan sarat dengan kematangan yang sekali gus menyaksikan jiwanya seakan lebih terisi.

Bukan hilang terus sisi gila-gilanya itu. Cuma, Sakinah lebih tenang mungkin.

“Ada juga yang tegur saya nampak lain. Paling ketara, saya pun dah kurang aktif di media sosial, tiak macam dulu. Saya fikir, kadangkala okey sahaja kalau nak kongsikan hal peribadi di media sosial tetapi lama-lama saya fikir, untuk apa kita sentiasa nak jadi hamba media sosial?

“Bila kita terlalu dedahkan kehidupan peribadi dengan harapan mahu tarik perhatian jenama-jenama atau klien, rasanya zaman itu untuk saya sudah berlalu. Sekarang, saya cuma mahu percayakan ada bakat yang ada dan letakkan sasaran apa yang dimahukan dalam hidup.

“Sebenarnya, kita kena tahu apa yang kita mahu. Tak perlu risau ada ‘job’ ke tak ada. Kita yang kena asuh diri supaya percaya pada bakat sendiri,”katanya.

Jelas Sakinah, melihat kepada keterujaan dan ketagihan orang muda kini yang seakan berlumba-lumba mahu mengejar glamor dan menjadi ‘seseorang’ dalam industri seni kreatif, golongan pempengaruh misalnya, bagi Sakinah, semua itu sekadar angin lalu yang cuma akan disedari suatu masa nanti.

“Bila tengok generasi sekarang yang obses dengan media sosial, percayalah, kebanyakannya akan terpedaya dan terjebak dengan tekanan kerana sering membandingkan diri dengan kehidupan orang lain.

“Nak muka macam artis Kpop, mahu kehidupan mewah dan jadi pempengaruh, semua itu kerana pengaruh media sosial. Saya katakan begini kerana saya sendiri sudah lalui macam-macam pengalaman buat bahan kandungan di media sosial semata-mata mahukan perhatian.

“Di akhirnya, awak tanya diri semula, adakah awak lakukan semua ini demi glamor atau duit? Awak kena tanya balik, apa yang awak mahukan sebenarnya dengan sanggup menjadi hamba media sosial?”katanya.

Tidak menghentam mana-mana pihak, kata Sakinah, dia masih menghormati keputusan orang lain yang memilih untuk mencari sumber pendapatan dengan cara menghasilkan bahan kandungan.

Namun, akui pelakon ini, demi menjaga kesihatan mentalnya dan enggan larut dengan negativiti yang boleh memakan diri, dia memilih untuk tidak kerap melihat media sosial.

“Saya pilih untuk ‘mute’. Saya tak nak kacau mata dan fikiran saya dengan sesuatu yang saya rasakan buruk. Sebab, saya mengakui, diri ini seorang yang cepat menghukum orang. Bagaimana cara nak elak? Jangan kerap tengok apa yang orang lain buat.

“Sebab itu, ada sela waktu, saya akan lakukan ‘detoksifikasi’ media sosial. Berehat sebentar dari dunia maya dan fokus pada apa yang kita nak buat. Saya juga selektif dengan apa yang saya nak promosikan di media sosial.

“Walaupun tahu saya ada ramai pengikut di media sosial, tetapi bagi saya, pengikut yang ramai itu adalah satu rezeki dari Allah SWT. Namun nak buat ‘kerja-kerja gila’ sebab nak perhatian, tak mengapalah, saya dah buat semua itu dulu,”ujarnya.

Gelanggang Sakinah

Bercerita lanjut,Sakinah mengakui pada waktu ini, fokusnya cuma pada dua perkara jika ditanya mengenai susunan kerjayanya kini.

Kata Sakinah, gelanggang permainannya kini cuma pada kerja seni lakon selain aktif sebagai jurulatih kesihatan dan kecergasan.

Malah, Sakinah juga mampu tersenyum bangga kini apabila bakal membuka sebuah gimnasium untuk golongan wanita di Bukit Merah, Singapura setelah sebelum ini cuma menggerakkan program tersebut secara atas talian.

“Sebelum ini saya banyak buat program kecergasan dan kesihatan menerusi atas talian. Saya pasang hajat buka fizikal gimnasium di Singapura kerana di sana belum banyak yang ada untuk golongan wanita.

“Di negara kita dah banyak dan lebih baik saya buka di sana sebab alang-alang dah ada ramai peserta di sana dan ada permintaan. Tetapi dalam masa yang sama, saya tak lupakan bidang lakonan dan masih aktif terima tawaran lakonan.

“Bagi saya, dunia lakonan adalah gelanggang permainan saya. Ia satu kerjaya yang membuatkan saya gembira meskipun selektif dalam pemilihan sesuatu naskhah.

“Meskipun keadaan semasa menyaksikan banyak platform drama dan program secara OTT, bagi saya, platform televisyen akan terus kekal relevan dan tak akan mati,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya