Mustahil saya seorang ‘sugar mummy’ - Sarah Suhairi - Utusan Malaysia

Mustahil saya seorang ‘sugar mummy’ – Sarah Suhairi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi, Sarah Suhairi, kesal apabila wajahnya digunapakai oleh seorang individu tidak dikenali dipercayai scammer untuk tujuan memperdaya khususnya terhadap golongan lelaki muda.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Sarah berkata, individu tersebut menyamar menggunakan wajahnya selain berani mengaku merupakan seorang ‘sugar mummy’ selain memperdaya mangsa dengan meminta wang.

“Saya baru dapat tahu mengenai perkara ini semalam apabila pihak pengurusan, Rusa Music memaklumkan ada seorang individu membuat aduan bahawa dirinya ditipu oleh seorang wanita yang menyamar sebagai saya.

“Tak pasti sama ada menerusi aplikasi cari jodoh atau Telegram, tetapi individu itu menggunapakai gambar-gambar saya dan mendakwa sebagai ‘sugar mummy’ untuk memancing mangsanya.

“Mangsa mengadu pada pihak pengurusan saya kerana mengaku telah ditipu dan kerugian sejumlah wang yang banyak. Mangsa mendakwa individu tersebut mengguna pakai wajah saya tetapi namanya adalah Asim Binit,”katanya.

Jelas Sarah, dia tidak tahu sejak bila kejadian ini berlaku namun mengakui bimbang sekiranya berlarutan dan lebih ramai orang menjadi mangsa.

“Mustahil lah saya ini seorang ‘sugar mummy’ bukan? Memang tak logik. Saya pun tak pernah tipu atau buat kerja-kerja begitu. Apa yang saya bimbangkan, jika ramai lagi mangsa terpedaya dan mengalami kerugian sedangkan itu bukan saya.

“Malah, saya juga risau perkara ini sekiranya dibiarkan akan menjejaskan reputasi dan imej saya. Ini pertama kali berlaku dalam hidup sepanjang saya menggalas kerjaya anak seni,”katanya.

Sementara itu, kata penyanyi lagu Sah ini, dia tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis sekiranya perkara ini masih berlarutan selain menggesa mana-mana pihak yang menjadi mangsa individu terbabit tampil membuat tindakan yang sama.

“Demi menjaga reputasi, saya akan buat laporan polis mengenai perkara ini. Tetapi pada masa yang sama, saya harap mereka yang jadi mangsa individu tersebut juga kena tampil buat laporan polis.

“Saya juga berharap, orang ramai berhati-hati dan ambil maklum mengenai perkara ini. Jika ternampak ada orang yang menggunakan wajah saya, itu bukan saya,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya