Abang Jem tetap aktif walaupun diuji sindrom seperti Parkinson - Utusan Malaysia

Abang Jem tetap aktif walaupun diuji sindrom seperti Parkinson

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH : Pelawak terkenal, Jamaludin Mat,73, tidak pernah meletakkan noktah dalam kerjayanya sebagai artis sejak menyertai pertandingan Bakat RTM anjuran stesen TV tersebut pada tahun 1981.

Menurutnya yang lebih popular dengan panggilan Abang Jem, sejak aktif pada awal tahun 1980-an dalam industri hiburan dia masih bekerja sebagai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan jawatan terakhir sebagai Pegawai Waran II sebelum bersara.

“Saya tidak pernah bersara dan aktif hingga kini dalam bidang seni dan persatuan. Minat dalam kedua bidang saya tetap teruskan, untuk persatuan saya aktif dalam Yayasan Artis Veteran Malaysia (YAVM).

“Cuma kesihatan saya agak terganggu sejak dua bulan lalu disebabkan sindrom tangan menggigil seperti penyakit Parkinson yang sukar dikawal sebagaimana yang dihidapi petinju lagenda, Muhammad Ali,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di rumahnya yang terletak di Kampung Melayu Sri Kundang di sini.

Jamaludin berkata, beliau akan mendapat pemeriksaan lanjut dengan pakar perubatan Julai depan untuk mengetahui rawatan yang terbaik untuk penyakitnya itu.

Katanya lagi, sebelum mengalami keadaan tersebut, beliau mengalami kemalangan ketika memandu sendirian dari rumah anak di Kota Damansara melalui Jalan Kepong.

“Jalan sesak, jadi saya bawa perlahan saja.Saya tiba-tiba mengalami ‘microsleep’ sehingga terlanggar pembahagi jalan untuk ke Jalan Kuching.Saya kemudian dikejarkan oleh ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Pemeriksaan yang dibuat dari jam 3 petang hingga 1 pagi mendapati saya tidak mengalami kecederaan serius,”katanya.

Jamaludin yang tinggal bersama isteri, Rahimah Hussin,64, mempunyai dua anak perempuan yang sudah berkahwin dan seorang anak lelaki bongsu yang masih bujang.

Buat masa ini katanya lagi, sumber kewangan keluarganya adalah daripada wang pencen bulanannya sebagai anggota tentera yang mana beliau berkhidmat dalam Badan Kesenian Tentera Darat (BKTD).

Semasa aktif sebagai artis, beliau turut dijemput untuk menyertai program RTM seperti Hiburan Minggu Ini, Puspawarna dan rancangan lawak jenaka.

Karakter beliau sebagai Abang Jem pernah dipopularkan penyanyi dan pelawak, Salih Yaacob ketika bergelar penyampai radio segmen pagi di Sinar FM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya