PADA usia 56 tahun, kebanyakan wanita mungkin sedang duduk di rumah melayani kerenah anak cucu. Namun penyanyi, Ziana Zain sibuk memikirkan cara membuat hidupnya lebih bermakna seperti bersetuju mengadakan konsert solo dengan durasi hampir tiga jam.
Bila difikir-fikir, Ziana merasakan ini kerja gila memandangkan tenaganya hari ini berbeza seperti konsert terakhirnya dua puluh tahun lalu. Namun, penyanyi Madah Berhelah itu enggan patah semangat sebaliknya mengumpul keyakinan berkat daripada sokongan peminatnya yang digelar, Zianafolks.
“Memang kita tidak boleh nak jangkakan tenaga kita pada usia 56 tahun ini akan sama seperti usia kita pada umur 20-an. Bila sudah semakin berusia, vokal akan menjadi semakin bulat dan suara pun menjadi lebih serak.
“Namun, saya mahu mengadakan konsert kerana para peminat merindui kehadiran saya. Mereka sudah terima saya seadanya di konsert itu nanti. Bahkan, lagu-lagu saya di konsert itu nanti juga dipilih oleh peminat,” katanya dalam satu sidang media khas sempena konsert kepada Utusan Malaysia.
Beberapa hari sahaja lagi menuju konsert pada 25 Mei, Ziana yang pernah menjadi satu-satunya artis Malaysia yang diundang ke pertunjukan fesyen jenama Fendi di tembok besar China, 2007, memberi sedikit gambaran mengenai persembahannya di konsert tersebut.
“Di konsert itu nanti, saya akan tampil dengan konsep yang menceritakan perjalanan hidup apa yang dilalui seorang Ziana Zain.
“Mungkin sebelum ini anda pernah baca tentang saya. Namun malam itu, saya akan bercerita kepada penonton menerusi lagu. Ada dua lagu yang kalau boleh saya nak elak untuk nyanyi kerana ia begitu beremosi. Namun kali ini, saya akan persembahkan lagu tersebut khas buat peminat,” tambahnya.
Ketika tiket sudah 80 peratus terjual, Ziana Zain menjadi tumpuan apabila terdapat warganet yang berkongsi poster konsert berkenaan di media sosial dan mengakui mahu menjadi sebahagian daripada kelab peminat penyanyi Madah Berhelah itu.
“Sejujurnya saya tidak sangka sebabnya mereka ialah daripada generasi hari ini yang mungkin hanya kenal Billie Eilish atau Taylor Swift. Sementara saya pula memulakan kerjaya pada era 90-an.
“Namun tidak dinafikan saya ada peminat dalam golongan muda dan juga kanak-kanak. Peminat paling muda saya jumpa adalah seorang kanak-kanak berusia 8 tahun. Kelakar mengenangkan dia panggil saya ‘aunty’ dan ajak bergambar.
“Bagi saya ini petanda yang bagus kerana bukan senang nak kumpul peminat baru. Mungkin peminat saya tahun 90-an kenalkan saya kepada anaknya,” katanya.
Percaya selera fesyen bapa
Bercerita mengenai penampilan dan busana semasa konsert, Ziana enggan menjelaskan secara terperinci sebaliknya memberi gambaran baju yang dipakainya tidak sarat hiasan bagi boleh menonjolkan aura seorang diva.
“Dari dulu lagi, bapa saya atau peminat panggil Pak Cik Zain, memang mementingkan penampilan saya. Dulu waktu muda, dialah yang ikut saya pergi tempah baju sampailah saya mula bekerjasama dengan pereka fesyen, Rizalman.
“Sejak itu di hanya tengok persembahan saya depan televisyen dan beri pandangan tentang pakaian dan juga solekan. Dia akan beritahu baju itu sesuai atau tidak dan siapa yang solekan saya sebelum membuat persembahan.
“Dia tak suka saya pakai yang terlalu sarat, lebih-lebih lagu pada usia sebegini. Katanya, baju saya biarlah nampak elegan dan saya bukan lagi di zaman bereksperimen dengan fesyen.
“Saya tidak pernah rasa dikongkong kerana saya tahu itulah bukti kasih sayangnya kepada saya,” jelasnya.
Konsert Ziana Zain 2024 akan berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 25 Mei ini.











