Mawar Rashid meraih peluang - Utusan Malaysia

Mawar Rashid meraih peluang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EPISOD perpisahan dengan sang suami tahun lalu tidak manis untuk diulang cerita. Apatah lagi, kedua-duanya sudah mula melangkah maju dalam cara berbeza, tiada guna membuka kisah.

Namun sambutan lebaran tahun ini bagi pelakon, Mawar Rashid memberi warna berbeza. Dia menyambut Aidilfitri dengan keluarga baharu. Menikmati lebaran di negara luar, bertukar suasana dan cara beraya.

Beraya sebagai ibu tunggal, tugasnya yang digalas lebih berat. Kemeriahan raya tidak seharusnya berubah warna. Tetap perlu sama untuk anak-anak yang tidak mengerti masalah dewasa.

Bagi anak-anaknya, raya tetap raya. Oleh sebab itu, Mawar berhempas pulas menyediakan segala kelengkapan raya untuk anak-anak sementelah tahun ini, mereka bakal beraya di Brunei.

“Tahun ini, kami beraya di Brunei. Jangankan saya dan anak-anak, pengikut media sosial pun ikut teruja bila melihat perkongsian saya beraya di sana.a Ramai tanya, ada beza ke dengan di Malaysia?

“Ini kali pertama saya dan anak-anak beraya di luar negara. Kali pertama juga, saya bawa tiga orang anak naik penerbangan. Memang ada cabaran dan dramanya tetapi itu adalah momen dalam kehidupan.

“Sebelum raya hari itu, saya sudah sediakan kelengkapan raya. Saya sekarang sibuk dengan perniagaan dan penggambaran jadi bila ada sahaja masa terluang, saya segera beli dan tempah sesiap,” ujarnya teruja.

Bercerita tentang sambutan raya di Brunei, biarpun beraya di negara orang, pelakon Suamiku Paling Sweet itu tetap mewarnakan Syawal yang dirai dengan hidangan juadah berunsur Thailand yang merupakan susur galur keturunannya.

“Kami adik beradik menemani ibu saya, Marinee Abdullah yang baru mendirikan rumah tangga dengan Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana, Pengiran Alauddin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Abu Bakar.

“Orang kata beraya dengan keluarga besar, sangat meriah. Juadah raya sama sahaja cuma seperti tahun-tahun sebelumnya, mesti ada unsur Thailand itu. Antara menu wajib, kari ayam Thai, lontong, roti jala dan rendang ala thai.

“Kalau tengok perkongsian saya di media sosial pun, memang meriah sangat. Seronok dapat meraikan hari kemenangan dengan insan-insan tersayang. Hidup ini tidak lama, nikmatinya dengan sepenuhnya,” kongsinya.


TAWARAN TIDAK PUTUS

Meluahkan rasa syukur, Mawar tidak menyangka kembalinya dia secara aktif dalam dunia seni membuka lebih banyak peluang sehingga tawaran yang diterima, tidak putus-putus sehingga kini.

Biarpun terpaksa berbahagi masa dengan urusan perniagaan Mawarose,namun rasa cinta terhadap dunia lakonan yang selama ini ‘disekat’ sementara kembali mekar dan membuatkan dia tidak lelah dalam mencari rezeki.

“Alhamdulillah, saya sendiri pun tak sangka banyak tawaran diterima. Saya ambil peluang ini untuk kembali berlakon dan juga fokus semula dalam industri lakonan. Sebelum ini fokus saya kepada keluarga kan.

“Kalau cakap pasal masa, memang sangat terhad. Dengan penggambaran dan perniagaan. Tetapi fokus utama saya tetap anak-anak. Mereka dunia saya. Hidup mati saya. Apa pun, mereka dahulu,” ujarnya.

Lantas adakah kesibukan diri membuatkan dia belum terbuka hati untuk menerima hati dari lelaki lain? Di usia 30 tahun, adakah dia trauma atau memerlukan tempoh waktu tertentu sebelum kembali bercinta?

“Buat masa ini, saya memang tidak ada mengenali atau berminat untuk berkenalan dengan sesiapa. Cukuplah ada anak-anak dan keluarga serta sahabat handai yang dari dahulu sentiasa ada.

“Saya ketika ini dalam fasa mengenal diri sendiri. Belajar untuk lebih menyayangi diri sendiri supaya dapat memberi lebih kasih sayang yang semampu baik kepada anak-anak dan mereka di sekeliling,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya