Enam minggu menari dengan Remy Ishak - Utusan Malaysia

Enam minggu menari dengan Remy Ishak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBELUM penggambaran dimulakan, pengarah dan penerbit filem The Experts sudah memaklumkan kepada pelakon, Maya Karin mengenai satu babak dalam naskhah ini yang sangat penting untuk dijayakan sebaik mungkin.

Adegan yang dimaksudkan ialah tarian Tango yang memerlukan Maya mengingati koreografi bersama Remy Ishak.

Sebenarnya, Maya boleh sahaja menjadi seperti Natalie Portman yang mengambil seorang pelakon double ketika menjayakan tarian di dalam naskhah yang pernah memenangi Akedemi Oscar, Black Swan.

Namun wanita berdarah kacukan Jerman, Cina dan India itu enggan mengambil jalan mudah. Maya bukan Natalie Portman, tetapi membawa semangat Priyanka Chopra dalam Gunday dan Eliza Scanlen dalam The Starling Girl yang berlatih menari setiap hari.

“Sejujurnya saya tidak pandai menari, setakat tahu gelek sedikit. Lebih-lebih lagi Tango memerlukan kemahiran teknikal tertentu.

“Enam minggu juga saya ambil masa untuk berlatih bersama Remy Ishak. Habis penggambaran pada waktu malam, kami akan ke ruangan latihan untuk menari.

“Namun begitu, kami tidak boleh berlatih setiap malam kerana dua sebab. Pertama, kami berdua sibuk dengan jadual kerja masing-masing. Kedua, badan kami akan sangat letih kerana berlatih menari sama seperti kita turun ke gym,” katanya.

Pernah beberapa kali terlibat dalam projek yang sama dengan Remy Ishak sebelum ini membuatkan Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-21 mudah menjelmakan keserasian di skrin.

“Saya bersyukur kerana sebelum ini sudah banyak kali bekerjasama dengan Remy. Jadi keserasian antara kami memang sudah ada.

“Saya juga berbangga dengan Remy yang turut bekerja keras untuk menjayakan babak ini. Siapa sangka budak asal Melaka boleh menari Tango,” katanya berseloroh.
Enam kamera satu babak

Bagi membuktikan betapa pentingnya babak tarian ini, pengarah, Andre Chiew dan Nazim Shah turut memantau perkembangan latihan Maya dan Remy di samping menggunakan enam buah kamera semasa penggambaran.

“Seumur hidup saya menjadi seorang pelakon, paling banyak pun, hanya dua buah kamera digunakan semasa penggambaran.

“Namun untuk adegan tarian itu sahaja, buat pertama kali, enam kamera digunakan untuk merakam babak itu.

“Pengarah tahu kita tidak akan dapat syot tarian yang sempurna jika pelakon letih,” tambahnya.

Bagaimanapun, pelakon Pontianak Harum Sundal Malam itu gembira kerana babak tarian tersebut berjaya dilakukan dengan baik dan mendapat pujian daripada pengarah serta penerbit.

Menurut Maya, naskhah yang bagus selalunya sudah dapat dikesan bedasarkan kepada budaya kerja dalam sesebuah produksi.

“Perkara itu kita boleh nampak sejak sesi bacaan skrip lagi. Sama seperti sukan, lakonan juga memerlukan semangat positif dalam pasukan.

“Di set ini, semua orang gembira termasuk jurusolek. Sebagai seorang pelakon, saya akan rasa selesa untuk bekerja.

“Bahkan pelakon yang saya tidak pernah bekerjasama seperti Hasnul Rahmat juga mudah diajak berbual. Saya bersyukur kerana pengalaman penggambaran filem ini sangat baik,” katanya.

Filem The Expert mengisahkan sekumpulan adik – beradik yang mempunyai kepakaran dalam kegiatan merompak. Salah seorang adik mereka merancang untuk mencuri cincin berharga jutaan ringgit, lantas terperangkap dalam konflik yang lebih besar.

Turut sama menjayakan filem yang bakal ditayangkan pada 23 Mei ini ialah Mimi Lana, Syafiq Kyle, Datuk Aaron Aziz, dan Tony Eusoff.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya