Daqmie cipta lagu santuni mualaf - Utusan Malaysia

Daqmie cipta lagu santuni mualaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEHIDUPAN golongan mualaf tidak semua seperti air yang tenang. Pelbagai cabaran yang terpaksa mereka tempuhi lebih-lebih lagi selepas bergelar saudara baharu.

Ada antaranya yang dibuang keluarga hanya disebabkan memeluk agama Islam. Keadaan itu membuatkan wujud dalam kalangan saudara baharu ini yang merasa tersisih dan seakan dipinggirkan.

Menyahut cabaran, penyanyi dan komposer berbakat besar, Daqmie kedepan menjalinkan kerjasama dengan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dalam menggerakkan usaha menyantuni golongan mualaf yang berdepan kesukaran.

Berasaskan pengalaman dan kepakaran dalam bidang muzik, Daqmie mencipta sebuah lagu hari raya berjudul Yang Istimewa untuk menyantuni golongan berkenaan. Lebih istimewa, lagu ini turut menampilkan kumpulan Mestica.

Meskipun berdepan kekangan masa, Daqmie bersama Mestica komited menyempurnakan lagu berkenaan dengan matlamat ia diperdengarkan kepada umum sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.

“Saya terkejut apabila Pengerusi Perkim Cawangan Datuk Keramat, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz memaklumkan hasrat untuk menerbitkan sebuah lagu Hari Raya. Masa yang diberikan juga agak suntuk.

“Namun setelah berbincang, kami sahut cabaran untuk menyiapkan lagu ini dalam masa yang ditetapkan. Alhamdulillah, akhirnya lagu ini berjaya direalisasikan,” katanya sewaktu sidang media baru-baru ini.

Mengulas tentang lagu berkenaan, Daqmie memaklumkan bahawa Yang Mulia mengandungi mesej yang berkait rapat dengan peranan masyarakat Islam dalam memberi bimbingan kepada saudara baharu.

“Ia berbalik kepada judul lagu ini. Yang mulia kepada pemberi dan penerima (bimbingan dan dorongan). Kepada yang memberi sokongan dan menyediakan ruang. Mesejnya berkait rapat kepada kita, yang beragama Islam menyediakan perkara yang baik-baik untuk golongan Mualaf.

“Menerusi mesej lagu ini, kita juga melihat dengan jelas peranan orang-orang seni dan pengamal media dalam menguar-uarkan tentang kewujudan pusat seperti Perkim untuk membantu golongan mualaf,” kongsinya.

Yang Mulia membawa makna lebih telus apabila liriknya ditulis sendiri Mohamad Suhaimi yang berpengalaman luas dalam membimbing dan menyantuni golongan berkenaan.

Katanya, dia berharap lagu berkenaan dapat memberi kesedaran kepada masyarakat tentang keutamaan dalam bersama-sama memimpin golongan mualaf agar mereka tidak berasa tersisih atau dipinggirkan.

“Lagu ini adalah usaha dakwah agar masyarakat terlibat dengan inisiatif yang Perkim anjurkan dalam membantu mereka yang memerlukan,” kongsinya.

Cabaran selepas mengislamkan seseorang

Bercakap tentang cabaran yang dihadapi saudara baru selepas memeluk Islam, anggota Mestica berpandangan penting bagi golongan mualaf untuk berada dalam kelompok yang betul agar mereka mendapat bimbingan.

Kata Razin, keutamaan bagi saudara baru adalah keluar dari kelompok kebiasaan mereka dan menyertai komuniti yang dapat membantu golongan itu dalam pelbagai aspek.

“Perkim contohnya. Pengalaman mereka dapat membantu saudara baharu mendepani segala masalah atau isu yang timbul selepas memeluk Islam.

“Jadi kepada golongan mualaf, jangan bersendirian. Sertailah program yang dianjurkan Perkim atau badan sewaktu dengannya,” kata Razin.

Daqmie yang berpandangan sama, juga mengesyorkan kepada saudara baharu agar berusaha mendapatkan bimbingan daripada pihak-pihak yang bertauliah.

“Saudara baharu disarankan untuk mendapatkan bimbingan individu seperti Suhaimi, yang setiap waktu melakukan kerja-kerja dakwah khusus untuk golongan mualaf,” katanya.

Sementara itu, Suhaimi tidak menolak kepentingan usaha kesinambungan untuk memberi kefahaman agama kepada golongan yang baru memeluk Islam.

“Mengislamkan seseorang itu, mungkin bagi sesetengah orang, mudah. Yang menjadi cabaran adalah kesinambungannya, kerja-kerja selepas itu. Tak ramai mampu galas tanggungjawab tersebut.

“Di situlah perana Perkim dalam mendekati golongan ini agar hati mereka tidak berbolak balik,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya