KUALA LUMPUR : Pelakon, Risteena Munim, mengakui tidak berasa terganggu apabila dirinya menjadi sasaran warganet sejak kontroversi mengenai adiknya, pelakon, Ruhainies, dicekup pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bersama aktor kelahiran Singapura, Aliff Aziz.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Risteena berkata, dia sudah lali dengan ‘permainan’ dunia seni dan menganggap kehidupan sebagai seorang selebriti dan figura awam itu tidak akan pernah senyap dengan kontroversi.
“Sejujurnya sedikit pun saya tidak rasa terganggu apabila diserang atau timbulnya spekulasi yang berlaku sekarang. Sebabnya, saya faham kehidupan sebagai seorang figura awam akan sentiasa berhadapan dengan situasi sebagaimana sekarang,”katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Selain itu, ditanya mengenai keadaan terkini Ruhainies, kata Risteena, sebagai kakak, dia sentiasa mendoakan kebaikan buat adiknya itu selain memberitahu pelakon tersebut kini berada dalam keadaan tenang.
“Ruhainies sangat okey sekarang dan sangat tenang. Kami menjalani kehidupan seharian macam biasa saja. Saya tidak pernah peduli dengan apa yang dikatakan kerana saya lebih mengetahui kejadian yang sebenar yang berlaku.
“Cuma lebih baik saya serahkan pada Ruhainies dan Aliff yang menceritakan mengenai isu tersebut sebab lebih layak dalam kes ni.
“Cuma saya berharap, warganet perlu berhati hati dalam berkata kata. Ini kerana, selepas kes ni selesai, sekiranya ada fitnah dari warganet, tindakan akan diambil terhadap mereka.
“Pihak Ruhainies juga telah pun mengumpul tangkap layar semua fitnah yang dilemparkan terhadapnya pada masa ini,”katanya.
Pada awal pagi Sabtu, pasangan selebriti dilaporkan telah ditangkap bersekedudukan di sebuah kondominium mewah yang terletak di ibu kota dan kedua-dua mereka adalah Ruhainies dan Aliff.
Adik kepada Bella iaitu Didi Astillah turut mengesahkan bahawa individu yang dicekup oleh JAWI tu adalah abang iparnya, Aliff.
Aliff dan Ruhanies bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan sementara pada pukul 2 petang di pejabat Jawi sementara menanti pendakwaan pada satu tarikh lain dalam masa terdekat.