AMPANG: Komposer dan penyanyi, Ippo Hafiz menyifatkan Ramadan tahun ini adalah yang paling mencabar selepas dia memfailkan tuntutan nusyuz terhadap isterinya, Fara Roslan selepas wanita tersebut tidak pulang ke kediaman mereka sejak November tahun lalu.
Ippo atau Muhammad Hafiz Yaziz, 34, yang ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Ampang berkata, dia tidak menyangka rumah tangga yang dibina sejak 2019 akan diuji dengan perceraian terutama di bulan mulia ini.
Bagaimanapun, penyanyi itu memilih untuk tidak mendedahkan masalah rumah tangganya terutama di media sosial demi menjaga aib dan kehormatan keluarganya.
“Siapa yang nak diuji begini, terutama melibatkan perkahwinan. Kalau tanya, saya pun tidak sangka, kami akan pergi sejauh ini. Sebagai seorang suami memang saya tak sangka diri sendiri akan lalui semua ini.
“Pelbagai usaha sudah dilakukan daripada pihak saya, jadi ini adalah satu langkah yang perlu saya lakukan sebagai suami. Saya memfailkan tuntutan nusyuz terhadap isteri saya kerana isteri saya keluar rumah dari rumah tanpa izin sejak November tahun lalu.
“Saya serahkan kepada proses mahkamah untuk menyelesaikannya, sebab sekarang ini dia masih lagi isteri saya dan saya mahu menjaga hati serta aib keluarga saya dan keluarga isteri,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ippo berkata, anak bongsunya, Ibrahim kini berada di bawah jagaannya manakala yang anak pertama bersama isterinya, Fara Roslan.
“Anak kedua, Ibrahim ketika ini tingga; bersama dengan saya dan anak sulung dengan dia. Jadi Ramadan saya bersama Ibrahim saja.
“Kalau tanya bagaimana perasaan saya sekarang, tak boleh nak cakap perasaan ini macam mana, saya hanya boleh cakap, saya sayangkan keluarga saya,” kongsinya.
Sementara itu, komposer popular iu turut memohon doa orang ramai semoga semua urusanya dipermudahkan.
“Saya mohon agar semuanya dipermudahkan dan akan berjalan dengan lancar. Saya memang tak boleh berkongsi apa yang berlaku kerana ini membabitkan nama baik keluarga,” katanya.
Untuk info, Ippo dan Fara mendirikan rumah tangga pada 24 Ogos 2019 dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki.