Sajian Ramadan menarik, Al Hijrah sasar 7 juta penonton - Utusan Malaysia

Sajian Ramadan menarik, Al Hijrah sasar 7 juta penonton

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Stesen TV Islamik Malaysia, TV AlHijrah menyasarkan 7 juta jumlah penonton sepanjang Ramadan tahun ini menerusi tema ‘Ramadan Mentadabbur Keindahan’.

Sasaran itu dijangka berjaya diperoleh selepas melihat sambutan yang diterima sebanyak 6.4 juta tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, seperti tahun-tahun sebelumnya, TV AlHijrah telah menyusun program-program yang mendidik jiwa dengan ilmu, dakwah dan hikmah.

Menurutnya, bulan Ramadan adalah bulan yang pastinya mencatatkan peningkatan jumlah tontonan di stesen TV AlHijrah.

“Pada Ramadan 2023 yang lalu, jumlah tontonan di stesen TV AlHijrah adalah sebanyak 6.4 juta tontonan. Bagi tahun ini, sasaran penonton dijangka meningkat sebanyak 10 peratus, melonjak kepada 7 juta tontonan sepanjang Ramadan.

“Pada Ramadan tahun ini, TV AlHijrah akan menyiarkan sebanyak 22 rancangan Istimewa buat penonton. Pecahannya adalah 20 rancangan penerbitan dalaman dan syndicated seperti Apa Cerita Kome bersama Ustaz Datuk Mohd Kazim Elias, Ihya Ramadan tajaan aplikasi Digital Khair oleh Qudwah Technology, Ibrah Ramadan, Camca, Sembang Moreh, Peristiwa Ramadan, Ayat Riwayat Risalah Anbiya dan banyak lagi.

“Manakala, terdapat satu program branded content iaitu Ehsan. Sebanyak 308.5 jam diperuntukkan untuk menayangkan kesemua rancangan-rancangan ini dengan peningkatan 17.8 peratus jam siaran berbanding tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, TV AlHjirah berperanan sebagai salah sebuah agensi Hal Ehwal Islam di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) adalah untuk memberikan pendidikan kemasyarakatan kepada orang ramai agar saling berkasih sayang serta bantu membantu sepanjang bulan mulia ini.

“Adalah menjadi hasrat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk terus melihat stesen TV AlHijrah sebagai sebuah stesen terulung dalam menyebarkan nilai-nilai Islam yang rahmah serta mesej-mesej kerajaan khususnya agenda membangun Malaysia Madani.

“Syukur Alhamdulillah, berkat kerja kuat serta kesungguhan seluruh warga TV AlHijrah, stesen ini sentiasa mendapat kepercayaan tinggi rakyat,” katanya pada majlis perasmian Pelancaran Program Ramadan Mentadabbur Keindahan TV AlHijrah, baru-baru ini.

Hadir sama Pengerusi TV AlHijrah, Mohd Khair Ngadiron dan Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris.

Dalam pada itu, Namanzee Harris berkata, bagi mempromosikan program-program TV AlHjirah untuk tahun ini mereka menjalin kerjasama dengan Keretapi Tanah Melayu dengan meletakkan iklan di beberapa gerabak kereta api.

“Jika tahun lalu kita menggunakan bas, tahun ini kita menggunakan kereta api sebagai usaha mempromosi dan mendekatkan lagi penonton dengan program-program TV AlHjirah.

“Kita tahu sasaran kita adalah pengguna pengangkutan awam, dengan perjalanan yang panjang selama berada dalam kereta api penonton dapat menyaksikan program yang disiarkan di stesen TV kami,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya