BELLA Dally mengharungi pelbagai cabaran selepas mengambil keputusan untuk berhijab kira-kira 10 tahun lalu. Pemilik nama sebenar Nabilah Ali Dally ini mengakui ketika fasa awal penghijrahannya, dia kurang menerima tawaran berlakon disebabkan imej bertudung.
Bella yang berusia 31 tahun tidak kecewa dengan situasi itu malah bersyukur kerana Allah S.W.T menghadirkan rezeki yang tidak disangka-sangka apabila dia dilantik sebagai duta sebuah jenama Muslimah buat 10 tahun berturut-turut.
“Sepuluh tahun lalu adalah fasa yang cukup sukar. Masa itu tak ramai pelakon bertudung dan saya sedar tawaran berlakon untuk saya tak ada. Mungkin sebilangan besar penerbit ketika itu cenderung memilih pelakon ‘free hair’.
“Namun perancangan Tuhan terlalu indah. Selepas enam bulan (berhijab), pihak Ariani merisik untuk menawarkan saya menjadi duta mereka. Alhamdulillah, 10 tahun saya bergelar duta.
“Saya tidak tinggalkan terus dunia lakonan. Cuma sekarang kurang aktif berlakon kerana lebih mengutamakan keluarga,” katanya pada sidang media One Thousand And One Tales baru-baru ini.
Bella mula menjadi pelakon pada tahun 2009 selepas menyertai program pencarian bakat Pilih Kasih pada tahun yang sama.
Sepanjang penglibatan dalam dunia lakonan, Bella membintangi empat buah filem antaranya Seru, Gila Gila Remaja 2, Desolasi dan Seratus.
Anak kelahiran Sabah ini pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Nazim Othman pada tahun 2016 namun pasangan ini bercerai dua tahun kemudian.
Satu tahun selepas itu, pelakon ini berkahwin dengan ahli perniagaan, Arif Izuddin Mohd. Radzali. Pasangan ini belum dikurniakan cahaya mata.
LAKONAN BUKAN KEUTAMAAN
BELLA memaklumkan terpaksa menolak banyak tawaran lakonan disebabkan komitmen sebagai seorang isteri.
Dia menegaskan, suami tidak pernah menghalang untuk aktif berlakon, sebaliknya keputusan memperlahankan kerjaya itu adalah atas kerelaannya sendiri.
“Kalau ada cerita atau watak yang menarik, saya akan pertimbangkan. Tapi, lakonan bukan lagi keutamaan dan saya akui banyak menolak tawaran demi keluarga.
“Suami pun tak halang saya terus berlakon. Dan saya tidak pernah undur diri dari dunia lakonan,” kongsinya.
Selain keluarga, komitmen Bella tertumpu kepada dunia media sosial selain menjadi duta produk yang menjadi sebahagian sumber pendapatan untuknya.
Kata Bella, dia bersyukur kerana rezeki tidak putus malah semakin bertambah.
“Saya aktif membuat kandungan di media sosial dan baru-baru ini saya dilantik sebagai duta produk suplemen kesihatan.
“Saya juga merancang untuk menghasilkan koleksi baju kurung sempena lebaran nanti. Suami beri dorongan untuk saya berniaga, sebab dia juga berkecimpung dalam dunia perniagaan.
“Apa pun saya masih dalam fasa mencuba, mahu melihat sejauh mana saya boleh pergi dalam bidang ini,” jelasnya.