Raffa Affar masih tunggu M Nasir - Utusan Malaysia

Raffa Affar masih tunggu M Nasir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUAH memihak kepada Datuk M Nasir apabila lagu Tiara ciptaannya yang popular pada tahun 1991 meledak kembali. Ia sekali gus menjadikan komposer itu sebagai pencipta dengan pendapatan tertinggi di Anugerah Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) tahun lalu.

Semuanya berkat penyanyi muda dari Indonesia, Raffa Affar yang menyadur semula lagu tersebut di media sosial. Dengan pengikut melebihi empat juta di akaun TikTok, lagu nostalgia Tiara digubah dan dinyanyikan Raffa dengan cara tersendiri sehingga ia kembali terkenal dalam kalangan anak muda hari ini.

Bernaung di bawah syarikat label Suara Dua Media, Raffa mengakui populariti lagu itu bagaimanapun tidak hanya hadir dengan pujian. Dia sempat dihujani kecaman sekali gus dilabel sebagai perosak lagu kecintaan ramai itu.

“Saya sempat menangis juga ketika peristiwa itu dan menutup media sosial selama beberapa hari. Ini kerana, mereka tidak hanya menghentam saya, malah turut mengaitkan ibu bapa saya.

“Ramai yang mengkritik di media sosial baik dari Malaysia mahupun Indonesia. Ada juga yang marah dan geram khususnya mereka yang lahir pada tahun lagu itu diterbitkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Tangerang, Jakarta baru-baru ini.

Enggan cepat mengalah, Raffa kemudian bangkit dan tidak lagi mengendahkan hentaman tersebut. Lebih-lebih lagi, idea menyanyikan semula lagu Tiara sudah pun mendapat kebenaran daripada M Nasir dan penerbit syarikat rakaman.

“Selepas peristiwa itu, saya kembali membuka media sosial kerana itulah punca pendapatan saya. Kemudian saya berkesempatan bertemu sendiri dengan M Nasir. Dia seorang yang baik namun tegas perihal muzik.

“Dia ada menasihati saya agar teruslah berkarya dan jangan terlalu dengar kata-kata netizen.

“Menerusi syarikat saya, mereka ada memanjangkan hasrat agar M Nasir dapat menghasilkan lagu buat saya. Setakat ini kami masih menunggu khabar daripadanya, ” jelasnya.

Tidak tertekan pendengar merudum

Selain Tiara, Raffa Affar turut dikenali dengan lagu Cinta Sampai Mati yang memperoleh lebih 10 juta pendengar di platform penstirman digital. Namun begitu, penyanyi asal Jawa Barat, Indonesia ini tidak mahu terlalu memikirkan populariti.

“Saya tidak mahu tertekan kerana memikirkan jumlah tontonan atau pendengar. Sekarang ini saya anggap sahaja begini, jika jumlah pendengar meningkat berbanding lagu sebelum ini, saya bersyukur. Jika tidak, saya anggap ia bukan rezeki saya.

“Saya seorang yang sangat santai. Namun ada beberapa strategi sudah dirangka dengan syarikat memandangkan saya bakal tampil dengan sebuah single baru tidak lama lagi. Nantikan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya