Keluarkan duit sendiri walau belum mampu - Nadeera Zaini - Utusan Malaysia

Keluarkan duit sendiri walau belum mampu – Nadeera Zaini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENYANYI berbakat besar, Nadeera Zaini menyahut seruan penyanyi-penyanyi berpengalaman seperti Datuk Hattan dan Datuk M. Nasir dengan menghasilkan sebuah album.

Meskipun berdepan kekangan kewangan, ia tidak menjadi alasan buat penyanyi bersuara lantang ini untuk menghasilkan album yang dijangka dipasarkan sekitar tahun ini.

“Saya tak mahu berada di takuk lama, justeru akan terbitkan album mini merangkumi lima lagu yang ditulis dan dihasilkan saya bersama dua rakan yang lain.

“Belum ada tarikh yang ditetapkan untuk memasarkannya tapi insya-Allah sekitar tahun ini.

“Kos pembikinan memang besar. Tentunya sebagai penyanyi baru saya belum mampu untuk keluar belanja sendiri. Jadi saya masih berusaha mendapatkan bantuan tajaan,” katanya yang ditemui selepas pelancaran lagu Balik Raya yang dinyanyikan bersama Wani Kayrie dan Indah Ruhaila.

Hattan dan M.Nasir antara penyanyi lama yang menekankan kepentingan penghasilan album untuk kelangsungan kerjaya nyanyian.

Dua penyanyi bertaraf legenda itu juga menegur amalan sebilangan besar penyanyi-penyanyi baharu yang kebanyakannya selesa menghasilkan single berbanding album.

Dalam pada itu, Nadeera juga memaklumkan album sulungnya itu nanti adalah eksperimentasi yang menonjolkan sisi berbeza dia sebagai penyanyi.

“Saya tetap memilih lagu balada untuk dipertaruhkan. Cumanya, ia akan lebih bersifat easy listening agar peminat dapat menikmati ‘rasa’ pada setiap lagu yang saya muatkan dalam album itu nanti,” kongsinya.

Dalam pada itu, empunya nama sebenar Farah Nadeera Zaini ini menarik nafas lega dengan perkembangan kerjaya dilaluinya selepas kemenangan di pentas Big Stage 5, tahun lepas.

“Kalau dahulu, susah nak dapat tawaran menyanyi. Saya pun menyanyi setakat di lounge hotel untuk mencari sumber pendapatan.

“Kini kehidupan saya berubah. Selepas bergelar juara Big Stage 5, hampir setiap bulan saya terima tawaran menyanyi.

“Alhamdulillah rezeki sentiasa ada untuk saya dalam bidang ini,” kongsinya.

BALIK RAYA

HASRAT penyanyi berusia 31 tahun untuk bekerjasama dengan penyanyi kegemarannya, Indah Ruhaila dan Wani Kayrie terlaksana menerusi penghasilan lagu Balik Raya.

Nadeera meluahkan rasa gembira dan mengakui seronok berkolaborasi dengan dua penyanyi itu yang baginya cukup berbakat dan profesional.

“Balik Raya juga satu pencapaian kerana buat pertama kalinya saya keluar dengan lagu untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri. Lebih manis apabila melibatkan Wany dan Indah.

“Kami serasi walaupun pertama kali digandingkan. Bila ditawarkan, saya tak ambil masa lama, terus nyatakan persetujuan,” kongsinya lagi.

Disoal tentang pengurusan kerjaya, Nadeera mengesahkan masih bergerak sendiri dan tidak bernaung di bawah mana-mana syarikat ketika ini.

“Saya ada terima tawaran bernaung di bawah Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd., namun tiada kata putus diambil memandangkan perkara itu masih dalam perbincangan. Buat masa ini saya masih bergerak sendiri,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya