KUALA LUMPUR : Pelakon dan pengacara, Elly Ariffin, menafikan sengaja menjual kisah pengalamannya dicabul seorang pengamal perubatan hanya kerana mahu meraih simpati atau perhatian warganet.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Elly atau nama sebenarnya Nurul Elyana Kamalul Arifin,35, berkata, tujuan utama dia berani dan terbuka untuk berkongsi pengalaman hitam itu kerana mahu menyebarkan kesedaran kepada semua kaum wanita.
“Tiada niat lain untuk ceritakan perkara yang mengakibatkan saya trauma dalam hidup itu melainkan untuk menyebarkan kesedaran. Saya nak beritahu kepada semua kaum wanita yang pernah alami situasi sama atau lebih teruk daripada saya, supaya mereka tahu bahawa mereka bukan sendirian.
“Ini bukan soal membuka aib. Sebagaimana saya, tentunya mereka yang menjadi mangsa juga sedang bergelut untuk mengatasi trauma yang dialami. Jujurnya, ada saja antara teman-teman perempuan saya yang alami situasi lebih kurang sama dan mereka masih lagi dalam keadaan trauma.
“Saya sedih bila dapat tahu yang hak wanita ini seperti tidak dapat ditegakkan. Sebab itu tujuan saya adalah untuk menegakkan hak wanita,”katanya ketika dihubungi, di sini,hari ini.
Selain itu, kata Elly, dia sedia maklum kemungkinan berdepan dengan kecaman, kritikan dan tuduhan pelbagai pihak apabila bertindak menyuarakan perkara tersebut kepada umum.
Bagaimanapun, Elly berpandangan, seharusnya masyarakat tidak mudah menghakimi kerana apa yang penting adalah wanita yang menjadi mangsa dalam situasi trauma mempunyai sistem sokongan yang kuat.
“Ada wanita yang jadi mangsa takut nak bersuara sebab bimbang kena kecaman macam apa yang sedang saya alami sekarang. Selepas bersuara, saya dikecam, dituduh macam-macam, dipersalahkan, akhirnya wanita juga dipersalahkan.
“Apa sahaja situasi, perempuan salah, imej seksilah, tak tutup auratlah, tak fikir panjanglah. Lama-lama mangsa takut nak bersuara dan pendam sendiri. Itu sebab saya nak beritahu bahawa kita sebagai wanita berhak untuk bersuara.
“Berhak untuk mendapat sokongan daripada sesiapa sahaja dan berhak mempertahankan kepercayaan kami walaupun kami dianggap ‘fragile’.
“Wanita selalu dilihat bak golongan minoriti hingga adakala tak dipandang, diperlekehkan, diambil remeh dan dipersalahkan,”katanya.
Dalam pada itu, pelakon filem Korsakoff ini berharap semua pihak bersikap lebih berperikemanusiaan dan tidak mudah meletakkan kesalahan kepada wanita yang menjadi mangsa.
Malah, katanya, tidak adil juga seandainya sesuatu isu itu sering dianggap sebagai isu yang remeh sedangkan wanita yang menjadi mangsa sedang berdepan dengan keadaan yang sukar.
“Kita tak tahu apa sebenarnya yang dialami oleh seseorang mangsa itu dan bagaimana dia atasi trauma dan kesukaran yang dilalui. Jadi, janganlah mudah meletakkan kesalahan atau judgemental.
“Andai perkara yang saya alami atau wanita yang senasib dengan saya ini dialami oleh isteri, adik, kakak, atau saudara-mara anda sendiri, adakah anda akan bersikap judgemental juga?
“Kita sebagai kaum wanita sama-sama kena saling menyokong. Apalagi untuk situasi begini. Saya juga nak beritahu kepada semua wanita supaya jangan putus asa untuk bangkit dari trauma. Sebagai contoh, diri saya sendiri. Saya percaya kita mampu bangkit dan terus berdiri,”katanya.
Semalam, Elly mendedahkan kepada umum bahawa dia pernah dicabul seorang lelaki berstatus pengamal perubatan yang merupakan kenalan keluarga sekitar dua tahun lalu.
Dakwanya, kejadian tersebut berlaku ketika dia ke kediaman individu berkenaan seorang diri untuk mengambil air penawar.
Sekitar tiga hari kejadian, Elly bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Pudu, Kuala Lumpur dan individu tersebut kemudiannya dihadapkan ke mahkamah dan mengaku bersalah dan telah bebas selepas membayar saman.
Bagaimanapun kejadian tersebut sehingga kini mengakibatkan Elly menghadapi trauma yang berpanjangan.