Ada cara sendiri, cipta keserasian - Izzue Islam - Utusan Malaysia

Ada cara sendiri, cipta keserasian – Izzue Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali kontroversi melibatkan aktiviti penyondolan, rampas-merampas atau keretakan rumah tangga, pasti nama pelakon dan penyanyi popular seorang ini menjadi sebutan dan perhatian warganet.

Bukan kerana dia pernah melibatkan diri dalam sebarang kontroversi membabitkan isu tersebut, tetapi nama Izzue Islam menjadi sorotan sebagai suami setia, yang tidak kenal erti selingkuh dan menduakan.

Namun sebagai manusia biasa, Izzue juga ada kerisauan sendiri. Ujian itu tidak datang hanya datang hanya satu bentuk, pelbagai. Tetapi buat masa ini, tidak lepas bibirnya mengucapkan syukur ke hadrat Illahi.

Tuhan menetapkan hatinya untuk seorang wanita, Awin Nurin. Tidak mahu dua atau tiga. Cukup satu biarpun perkahwinan yang memasuki usia sembilan tahun itu belum dikurniakan cahaya mata.

“Sebagai manusia, kita pasti ada kerisauan itu. Tetapi saya selalu ingatkan diri dan berpegang kepada prinsip serta cara mengendali situasi. Alhamdulillah, setakat ini tidak pernah ada pelakon wanita cuba menggoda.

“Mungkin mereka sudah tahu cara saya bekerja. Lagipun isteri saya bsentiasa ada di sisi. Jadi saya rasa tidak pernah timbul isu pernah digoda pelakon wanita lain. Saya juga kena pandai jaga diri, jaga hati.

“Bila bekerja, kita perlu ada prinsip dan pendirian sendiri. Walaupun mungkin ada yang kurang senang, tetapi bagi saya berlakon itu ada pelbagai teknik. Setiap orang ada cara sendiri memainkan watak itu,” ujarnya.

Lantas bagaimana dia mencipta keserasian dengan pelakon wanita lain? Sementelah, semua sedia maklum dia antara pelakon lelaki yang meletakkan batas dalam bersentuhan berlainan jantina.

Biarpun mungkin ada pelakon wanita lain kurang selesa, tetapi bagi anak kelahiran Kelantan ini, mencipta keserasian antara watak dalam lakonan tidak memerlukan sesi lebih rapat atau berdua-duaan .

“Kalau di set penggambaran kita boleh sahaja cipta keserasian. Ketika sedang rehat makan atau sesi baca dialog bersama pengarah serta kru. Bergantung kepada cara kita. Lagipun setiap hari kita akan berjumpa kan.
“Alhamdulillah, setakat ini, saya berlakon dengan Ummi Nazeera sebagai contoh, walau kami tak bersentuhan pun orang tetap boleh terima. Mereka dapat rasa kami berdua ini sepasang suami isteri dalam drama.

“Secara peribadi, saya rasa tak perlu pun sesi kenal rapat dengan pelakon wanita semata-mata untuk cipta keserasian. Itu boleh dilaksanakan di set penggambaran. Tetapi bergantung kepada cara masing-masing,” katanya.

ARTIS KONTROVERSI? TIADA MASALAH

Perbualan kami terarah kepada soalan lain pula. Adakah dia selesa jika digandingkan bersama pelakon kontroversi yang mungkin pernah terpalit isu menyondol dan meruntuhkan rumah tangga orang?

Jawapannya mudah, dia tidak ada masalah untuk bekerja dengan mana-mana selebriti yang pernah atau sedang berhadapan isu digantung atau terpaling kontroversi.

“Saya pernah sahaja bergandingan pelakon yang sedang panas dengan kontroversi. Sudah namanya kerja, jadi saya hanya menurut arahan pengarah atau penganjur. Isu peribadi saya tak masuk campur.

“Lagipun saya rasa pemain industri seni juga sudah maklum cara kerja saya. Tidak ada adegan bersentuhan. Awin pun selalu ada di set penggambaran, jadi tak ada masalah.

“Yang penting kita pandai jaga diri,” ujarnya yang popular menerusi drama Rindu Kasih 1 dan 2.

Bercakap tentang perkembangan seni, Izzue teruja berkongsi single baharunya, Suka Sama Suka yang turut menjadi runut bunyi bagi drama baharu, Hello, Saya Anak Uncle yang bersiaran di TV3.

“Selepas Epilog Noktah Cintah (kolaborasi bersama Forteen), saya tampil dengan single baharu yang bergenre pop. Lagu catchy dan rancak.

“Alhamdulillah, dapat rezeki pula jadi runuh bunyi drama baharu saya dan Aprena Manrose,” ujar lelaki berusia 33 tahun itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN