Saya hidup tanpa kasih sayang bapa, tak mahu anak terima nasib sama - Erra Fazira

Saya hidup tanpa kasih sayang bapa, tak mahu anak terima nasib sama – Erra Fazira

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon dan penyanyi, Erra Fazira mengakui enggan nasib yang sama dilalui oleh anak tunggalnya, Engku Aleesya apabila berbicara mengenai kesan perceraian ibu bapa terhadap anak-anak.

Ini kerana, kata Erra, dia sendiri pernah merasai kehidupan tanpa kasih sayang seorang bapa sewaktu zaman kanak-kanak.

“Saya dibesarkan ibu tunggal dan tidak dapat kasih sayang bapa sebab itu saya nekad mahu anak saya dapat kasih sayang kedua-duanya sekali.

“Saya sebagai ibu tidak mahu menggangu proses pembesarannya. Dia berhak untuk hidup bahagia,”katanya.

Selain itu, aktres berusia 50 tahun itu turut mengulas mengenai isu perebutan anak yang berlaku dalam kalangan selebriti.

Menurutnya, sama ada ibu atau bapa hendaklah mengalah dan menurunkan ego agar tidak memberi kesan yang buruk terhadap anak mereka.

“Bagi saya, ibu bapa perlu rendahkan ego masing-masing dan beri keutamaan kepada kebahagiaan anak selepas bercerai.

“Bila bercerai keadaan memang tegang bila babitkan soal anak. Nasihat saya kepada pasangan yang bercerai, sebagai orang dewasa kita letakkan ego ke tepi dan kena fikir lebih soal anak.

“Salah seorang juga kena mengalah dalam hal yang membabitkan soal penjagaan anak ini supaya tidak beri tekanan kepada mereka,”katanya.

Kongsi penyanyi lagu Pasrah ini lagi, masyarakat juga tidak perlu mengetahui isu pergaduhan sesebuah rumah tangga di media sosial.

“Susah dan senang kita tak perlu tunjuk pada orang. Ini kerana media sosial akan menggambarkan siapa diri kita yang sebenarnya kepada orang luar. Contohnya, kebahagiaan dan kesakitan kita tak perlu pun satu dunia tahu,”katanya.

Erra pernah mendirikan rumah tangga dengan komposer dan penyanyi, Yusry Abdul Halim pada 2003, namun bercerai pada 2006.

Erra kemudian mendirikan rumah tangga kali kedua dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Engku Aleesya yang kini berusia 15 tahun.

Bagaimanapun, perkahwinan tersebut tidak kekal lama apabila mereka bercerai selepas tujuh tahun bersama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN