KUALA LUMPUR : Pelakon senior, Mak Jah, menegur segelintir pelakon baharu yang bersikap tidak profesional di set penggambaran.
Menurut Mak Jah, atau Maimunah Ahmad, 75, terdapat pelakon yang enggan melakukan latihan, malah gagal menjiwai karakter yang dibawa kerana skrip dibaca oleh pembantu peribadi.
“Lakonan akan ‘menjadi’ jika kita natural. Sepanjang saya berlakon selama 40 tahun, saya akan betul-betul menangis tanpa bantuan ubat titis mata. Cuma sesekali saya akan letak minyak angin di hidung untuk nampak kesan sedikit merah.
“Skrip pula saya akan baca keseluruhan cerita, kemudian barulah fokus kepada karakter yang perlu saya bawakan.
“Namun pelakon hari ini, ada yang tidak baca pun skrip sebelum sampai ke set penggambaran. Pembantu peribadi yang hadam cerita kemudian jelaskan kepada pelakon mengenai babak yang akan dilakonkannya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Berbeza dengan cara dan gaya lakonan, menurut Mak Jah, pelakon dahulu lebih santai dan bijak membawa karakter masing-masing asalkan mereka tahu bila dialog itu patut berhenti.
“Macam Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, dia bagi kebebasan dalam dialog asalkan kita tahu bila patut berhenti. Skrip hanya sekadar panduan.
“Namun pelakon hari ini, jika kita lakukan sedikit improvisasi, mereka akan tercengang dan mempersoalkan tindakan kita kerana tiada dalam skrip.
“Lakonan tidak perlu seratus peratus ikut skrip, kita perlu menjiwai dan menggunakan pemikiran untuk menghidupkannya,” jelasnya.
Dalam pada itu, pelakon filem Sembilu ini bagaimanapun sudah jarang mengambil tawaran berlakon selepas penyakit radang tulang dan saraf yang dihidapinya semakin buruk sejak tahun lalu.
“Saya masih dapat tawaran, cuma sudah jarang berlakon kerana penyakit ini membuatkan saya sukar berjalan.
“Lagipula saya tidak mahu susahkan orang-orang di produksi. Cuma tipulah jika tidak rindu.
“Lakonan sudah menjadi darah daging saya sejak 40 tahun dulu,” katanya.