KUALA LUMPUR : Selepas dicanang kini sudah bergelar isteri kedua dan hidup bermadu dengan lelaki bernama Aslam, anak perempuan pelakon Norman Hakim dan Abby Abadi, Marissa Dania dilihat telah menutup ruang komen dalam Instagramnya.
Tindakan itu jelas menunjukkan bahawa Marissa masih enggan membuat sebarang respons rasmi mengenai kontroversi yang sedang tular dan menjadi perhatian ramai kini.
Marissa dikatakan telah bernikah dengan Aslam pada 17 Disember lalu di Songkhla, Thailand secara senyap-senyap tanpa pengetahuan keluarga.
Susulan tindakan pempengaruh media sosial itu, laman sosial ibu bapanya pula dihujani serangan netizen yang meluahkan kemarahan termasuk mengungkit kisah lampau kedua-dua pelakon berkenaan.
“Ke mana tumpahnya kuah,” sindir pemilik sebuah akaun.
“Sekarang fahamkan, kita tua muda, kita sesiapa pun buatlah perkara baik sebab karma itu wujud. Tak kata pada awak semua, sampai masa kita kena telan apa yang pernah kita buat,” kata netizen lain.
Begitupun, masih ramai mempertahankan Norman dan Abby apabila meminta netizen tidak keterlaluan meninggalkan komen jahat sehingga lupa perihal berkaitan dosa.
Malah, rata-rata berpendapat ibu bapa gadis berusia 19 tahun itu tidak wajar dipersalahkan atas perbuatannya menconteng arang ke muka keluarga.
Sementara itu, menerusi semakan Kosmo! Online dalam Instagram Norman, sudah lama kelibat anak keduanya tidak kelihatan dalam foto acara membabitkan keluarga.
Paling terbaharu adalah sekitar seminggu lalu iaitu ketika sambutan ulang ke-11 adiknya, Muhammad Darwisz Hakim, sehingga ada pengikut pelakon drama Gerak Khas itu bertanyakan keberadaan Marissa.
“Semoga berbahagia selalu, lama tak tengok Marissa,” tulis seorang netizen.